Menteri Besar Selangor sehingga kini masih berdolak dalik berhubung kos sebenar pengambilalihan proses penstrukturan semula industri air Selangor.
Mohamed Azmin Ali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu jelas dengan sengaja tidak menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh ADUN Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan.
Sebaliknya Azmin dilihat sengaja menukar perhatian dengan memberi jaminan kenaikan tarif air di Selangor tidak akan memberi kesan kepada rakyatnya.
Kegagalan Azmin memerincikan pecahan kos sebenar pengambilalihan tersebut dilihat akan memberi kesan kenaikan tarif air pada masa akan datang.
Namun Azmin hanya memberitahu kos tambahan pembelian semua syarikat konsesi yang terlibat, sedangkan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM9.65 bilion.
“Harga tawaran untuk pengambilalihan tiga buah syarikat konsesi air secara keseluruhan berjumlah RM1.68 bilion iaitu RM1.07 bilion untuk pengambilalihan Puncak Niaga dan RM0.52 bilion untuk pengambilalihan Syabas dan RM0.09 bilion untuk Abbas,” katanya.
Dalam sidang DUN lalu, bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ada mendesak Azmin memerincikan kos pengambilalihan 4 syarikat konsesi air itu tetapi Azmin hanya menyentuh kos RM2 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion.
Khalid menegaskan penjelasan berkaitan baki RM7.65 bilion itu penting kerana dikhuatiri akan menyebabkan tarif di negeri itu meningkat.
Azmin sekali lagi memberi jaminan bahawa sebarang kenaikan tarif air di Selangor tidak akan memberi kesan kepada rakyatnya.
Katanya kadar kenaikan itu akan ditentukan selepas kerajaan negeri mengambilalih perjanjian konsesi syarikat air terbabit.
“Sekali lagi saya memberi jaminan sebarang kenaikan tarif air itu tidak akan memberi kesan kepada pengguna dan rakyat di Selangor.
“Kita percaya bahawa kerajaan negeri dapat menguruskan industri ini lebih efektif dan sekiranya ada keperluan kenaikan kadar tarif, maka ia akan ditentukan setelah kerajaan negeri mengambilalihan syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.
Azmin yang juga merupakan ADUN Bukit Antarabangsa memberitahu kadar Non Revenue Water (NRW) setakat ini adalah 34 peratus.
Mengulas mengenai pengambilan syarikat konsesi Splash, Azmin memberitahu ia masih belum dimuktamadkan dan proses rundingan masih berjalan dan akan tamat pada 2016.
“Pengambilalihan Splash masih belum dimuktamadkan kerana pemegang-pemegang saham utama Splash telah menolak tawaran awal yang diberikan oleh kerajaan negeri, maka kerajaan negeri telah melantik penilai bebas untuk membantu kerajaan negeri apakah nilai yang adil untuk diberikan dan imbangan dalam pengambilalihan Splash kelak,” katanya.