Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di Plaza Low Yat di sini, Khamis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata kejadian di kompleks membeli-belah itu berlaku kira-kira 7 malam Khamis.
“Pergaduhan itu melibatkan suspek berumur 27 tahun dengan seorang pekerja di kompleks itu (Plaza Low Yat), yang mengganggu di premis pekerja berkenaan,” katanya.
Difahamkan, suspek sebelum itu terlibat dalam kemalangan di Jalan Bulatan dengan salah seorang pekerja di premis berkenaan.
Susulan itu, suspek yang tidak berpuas hati datang ke premis itu dan menumbuk muka mangsa.
“Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi.
Sementara itu, wakil pihak pengurusan Plaza Low Yat, Gary Lam berkata insiden pergaduhan tersebut adalah disebabkan salah faham.