Kecelaruan di dalam pembangkang termasuk pemimpin PAS yang bercakaran sesama sendiri sebenarnya berpunca Langkah Kajang yang diilhamkan bekas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.
Ini termasuk pergeseran antara bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu kerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO.
Menurut Pegerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad, UMNO tidak ada kena mengena dalam isu Husam bersedia sumpah talak isteri kerana mahu membuktikan memang ujud rancangan kerjasama kedua-dua parti.
Husam sebelum ini menyatakan rancangan tersebut dibuat ketika krisis Menteri Besar Selangor yang pada asalnya untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selepas mengetahui yang Anwar bakal dipenjara, jawatan tersebut diberi kepada isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail melalui pilihanraya kecil DUN Kajang yang dikenali Langkah Kajang.
“Inilah hasil kejayaan Rafizi. Pakatan Rakyat berpecah. Sekarang ada Pakatan Harapan. PAS juga berpecah, sekarang ada Amanah. Ini tidak siapa nampak,” katanya.
Ahli Parlimen Johor Bharu itu berkata, kecelaruan ini berterusan hingga sekarang apabila Husam menuduh Hadi terbabit dalam kerjasama PAS dengan UMNO di Selangor.
“Dengan keadaan Barisan Nasional (BN) hanya 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor, tiada asas untuk kerjasama itu. Lainlah kalau kita (BN) ada separuh kerusi,” katanya.
Bagi Shahrir, apa yang berlaku antara Husam dan Hadi adalah masalah PAS dan tiada kena mengena dengan UMNO atau BN.
“Husam patut cakap ini salah Rafizi kerana Langkah Kajang menyebabkan pembangkang terus bercelaru hingga sekarang malah PAS turut terkesan,” katanya.
Husa, yang juga Adun Salor kelmarin menyatakan bersedia bersumpah cerai talak isteri bagi membuktikan dakwaannya itu manakala Hadi dalam responnya semalam, berkata Husam boleh bersumpah.
“Biarkan dia bersumpah, kalau dia rasa dia betul dan kita salah, pergilah sumpah,” ujar Hadi.