Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengesan ‘musuh dalam selimut’ yang bersekongkol dengan penjenayah rentas sempadan untuk melakukan jenayah di Sabah termasuk penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati bersekongkol dalam usaha memastikan keamanan terjamin di Sabah khususnya di kawasan pantai timur negeri ini.
“Jika ada musuh dalam selimut, sampai bila pun pantai timur tidak akan aman. Tanggungjawab kami (ialah) kenal pasti musuh-musuh dalam selimut ini dan kita akan ambil tindakan. Kita tidak akan biarkan mereka terus menjadi musuh dalam selimut, duri dalam daging.
“Kalau mereka ingin tinggal di Sabah, ingin hidup dalam keadaan aman damai, mereka perlu setia kepada negara ini. Mereka perlu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam kita memastikan seluruh negara kita aman damai dan semua orang boleh hidup sejahtera,” katanya.
Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 155 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Cawangan Khas yang bertugas semasa insiden pencerobohan pengganas di Tanduo, Lahad Datu, di pantai timur Sabah.
Pingat berkenaan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap pengorbanan mereka bertugas semasa insiden itu.
Khalid juga meminta semua masyarakat kususnya di kawasan pantai timur Sabah supaya memberi kerjasama kepada anggota pasukan keselamatan di kawasan berkenaan dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Katanya, kumpulan pengganas dan penjenayah akan terus mencari peluang untuk melakukan aktiviti serta sokongan dan kerjasama daripada seluruh masyarakat amatlah diperlukan.
“Jadi, saya menyeru masyarakat Sabah khususnya di pantai timur supaya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak PDRM dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOm) dengan memberi maklumat dan mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama memastikan pantai timur Sabah itu sentiasa aman, sejahtera dan selamat untuk semua.
“Kerana kita semua tahu, jika kawasan itu tidak selamat, sentiasa bergolak, segala kerja harian masyarakat akan terjejas, termasuk aktiviti perniagaan, pelancongan dan segala-galanya,” katanya.
Mengenai ancaman penculikan dari selatan Filipina, Khalid berkata kumpulan penjenayah berkenaan akan terus cuba melakukan aktiviti itu kerana mereka sudah menjadikan kegiatan itu sebagai sumber pendapatan utama.
Setakat ini, pihak berkuasa Malaysia telah mematahkan sekurang-kurangnya lapan cubaan kumpulan berkenaan untuk mereka masuk ke kawasan pantai timur Sabah untuk melakukan jenayah termasuk penculikan, katanya.
“Kita tahu itu, mereka sentiasa cuba dan mencuba. Sudah semestinya di sebelah kita, kita mesti sentiasa berjaga-jaga, meningkatkan di mana yang kita rasa ada kelemahan…dengan itu pihak PDRM dan ESSCOm sentiasa berbincang dan meningkatkan lagi kehadiran kita dan kesiap siagaan kita di sepanjang perairan Sabah.
“Memang kawasan itu lemah dan bergolak. Insya-Allah, kita akan buat yang terbaik untuk memastikan pantai timur Sabah selamat untuk semua,” katanya.