Wanita dikenali sebagai ‘Mokbiey’ yang dirakam membelasah seorang wanita lain sehingga menjadi viral di laman sosial bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan mangsa dan mencabul kehormatannya.
Mokbiey atau nama sebenarnya, Putri Nur Shasha Shamrila Zamri, 22, yang merupakan seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed.
Dia bersama rakannya, Nurul Atikah Hanafi, 27, yang sudah dituduh, didakwa mencederakan mangsa berusia 24 tahun itu dengan menggunakan kaki dan tangan sehingga mendatangkan kecederaan di Wakaf Mek Zainab, di sini pada pukul 10 pagi, 15 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Dia bersama rakan yang telah dituduh itu turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Syahrun Nizam Mohd. Misan yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.