HULU SELANGOR – Seramai 40 penghuni rumah kebajikan yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) berhadapan detik cemas setelah kediaman mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Melor, Bukit Beruntung di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, kejadian tersebut disedari beberapa penghuni yang masih belum tidur.
Jelasnya, kemudian mereka segera membuat panggilan kecemasan pada pukul 12.38 tengah malam.
“Seramai 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu serta Rawang dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 20 minit kemudian.
“Sebaik sahaja tiba, didapati api telah marak dan memusnahkan 30 peratus daripada bahagian sengkuap di depan rumah banglo dua tingkat tersebut,” katanya.
Kamil memberitahu, kesemua mangsa berumur antara tujuh hingga 98 tahun yang mendiami rumah kebajikan itu berjaya menyelamatkan diri.
“Kami berjaya memadamkan api sepenuhnya pada pukul 2.18 pagi.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat,” ujarnya.
–