KOTA TINGGI — Tiga lelaki dan seorang wanita maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 56.7, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, berhampiran Felda Air Tawar 2, di sini, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, tiga sekawan yang menaiki Proton Satria iaitu Muhamad Rizan Ab Kadir, 34, Mohd Remey Wahab, 28, dan Mohd Zakri Omar, 30, maut di tempat kejadian.
Turut maut, penumpang Proton Saga FLX, Fatimah Yet, 41, manakala suaminya yang memandu, Md Jefri Johari, 43, cedera parah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila Proton Satria yang datang dari arah Sungai Rengit menghala ke Kota Tinggi terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Saga FLX,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rahmat berkata ketika kejadian, cuaca kering dan keadaan gelap kerana tiada lampu di kiri dan kanan jalan.
Beliau berkata kesemua mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala Md Jefri turut dirawat di hospital yang sama.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.