Tindakan menyebar berita yang tidak disahkan akan membawa kepada pertuduhan yang menjurus kepada kekacauan serta ketidakharmonian dalam kalangan rakyat.
“Menyebarkan berita yang tidak disahkan akan menjurus kepada pertuduhan, dan tuduhan-tuduhan buruk akan membawa kepada perpecahan serta mengganggu keharmonian yang telah kita semai selama bertahun-tahun,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam blognya, Sabtu.
Najib yang mengambil contoh insiden kebakaran kereta di tempat letak kereta di Petaling Jaya Isnin lalu berkata, kejadian itu pada mulanya dihebohkan sebagai serangan bom namun akhirnya ternyata sekadar kes membakar kerana cemburu.
“Perkara seperti ini boleh dijadikan iktibar kepada semua untuk lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang berita, terutamanya yang diterima melalui media sosial dan aplikasi mesej,” katanya menambah bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan sebarang berita yang diterima adalah benar dan tepat.
Beliau menjadikan keharusan memastikan kesahihan berita seperti yang diseru Al-Quran dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 dengan tafsirannya yang berbunyi…..
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Menurutnya, teknologi sekarang memudahkan orang ramai menyebarkan maklumat, malangnya ramai tidak mengambil peduli kesahihan berita yang mereka sebarkan.
Ini kerana, berita tidak sahih katanya, akan mewujudkan “suasana ketakutan” di kalangan rakyat dan memusnahkan imej negara di peringkat antarabangsa.
“Implikasinya cukup besar, terutamanya terhadap ekonomi negara,” kata Najib lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dengan penggunaan teknologi masa kini.