Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus diberi ruang untuk terus mengkritik kerajaan tanpa sekatan undang-undang.
Malah Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berharap Dr Mahathir diberi layanan istimewa dengan menjadikan beliau seorang yang ‘kebal’ undang-undang.
“Berilah ruang Tun Mahathir bercakap. Kalau beliau langgar undang-undang pun spare him lah. Tapi saya tak tahu Tun Mahathir setuju atau tidak untuk menjadikan beliau orang yang terkecuali daripada undang-undang.
“Kalau tanya saya, secara peribadi kalau setakat Tun membebel sana sini, kecualikanlah beliau. Jika terlanggar undang-undang pun…kalau saya ada kuasa, kita jadikanlah beliau seorang yang above the law,” katanya dalam satu temubual.
Pada 15 Februari lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis mula menjalankan siasatan terhadap Dr Mahathir berhubung kenyataan dalam blognya yang didakwa berunsur fitnah.
Dalam tulisan di blognya pada 5 Februari lepas, Dr Mahathir mengatakan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai kredibiliti dan mendakwa Mohamed Apandi tidak akan mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International dan dana RM2.6 bilion kerana kononnya terhutang budi dengan Najib.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau secara peribadi tidak mahu bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berhadapan tindakan undang-undang.
Namun Annuar menegaskan beliau tidak teragak-agak menegur veteran Umno itu sekiranya terus menerus mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak tepat hingga mengelirukan rakyat.
“Saya tak boleh berlaku biadab kepada Tun Mahathir. Tun adalah Umno. Tapi kalau saya beri pandangan yang mungkin berbeza dengan Tun, itu sekadar pandangan.
“Tapi jika ingin jadikan saya sebagai alat untuk balun Tun, saya tak akan ambil tanggungjawab itu. Kalau Tun buat sesuatu yang saya rasa tak menguntungkan Umno saya akan berterus terang.
“Saya terpaksa menjawab. Niat yang baik, belum tentu hasilnya baik. Niatnya baik nak tegur Perdana Menteri, niat baik nak kritik Najib…tapi kalau itu menyebabkan Umno runtuh, maka kita kena tegurlah,” katanya.