Orang ramai dinasihat tidak terlalu emosi dengan isu yang dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial yang belum pasti kesahihannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata ini kerana Malaysia sebagai negara berbilang bangsa, agama dan budaya sentiasa menjadi tumpuan dunia luar yang terus memerhati sama ada dalam bentuk positif atau negatif.
“Justeru sebagai masyarakat Malaysia kita perlu sentiasa berganding bahu menyelesaikan apa juga masalah yang wujud dan tidak beremosi dengan isu yang dibangkitkan di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2016 di Universiti Taylor di Kuala Lumpur, Khamis.
Katanya kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi hari ini adalah hasil daripada sikap hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara rakyat berbilang bangsa dan agama.
Menjadikan prinsip Rukun Negara sebagai panduan kehidupan, Kurup juga mengingatkan masyarakat untuk tetap berpegang kepada Perlembagaan yang terbukti menyatupadukan rakyat.
“Kerajaan akan sentiasa berusaha mencari pendekatan dan kaedah terbaik untuk menjaga dan memelihara perpaduan negara,” katanya.
Mengulas mengenai Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama, Kurup menyeru rakyat untuk mengekalkan sikap saling memahami antara satu sama lain yang menjadi panduan kehidupan.
Jelasnya untuk sentiasa mengekalkan sifat saling memahami, masyarakat disaran belajar budaya, agama dan adat resam selaras dengan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.