Seramai 147 ketua Umno bahagian menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mengutuk tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Deklarasi Rakyat.
Ketua Umno Bahagian Batu Gajah Datuk Mohd Yusof Kassim berkata cubaan Dr Mahathir bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan perdana menteri dan mahu mengadakan perhimpunan haram untuk menghasut pemikiran rakyat perlu dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan dan pihak polis.
“Kami mendesak kerajaan bertindak tegas, menguatkuasakan segala peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menggugat sistem pemerintahan negara.
“Kami ketua-ketua Umno bahagian juga mendesak kerajaan dan polis bertindak tegas dan menghalang segala ‘road show’ dan perhimpunan haram yang bakal dianjurkan oleh mana-mana pihak khususnya pembangkang bagi tujuan meracuni dan menghasut pemikiran rakyat, berdemonstrasi di jalanan dan apa-apa usaha untuk menjatuhkan perdana menteri secara tidak demokratik,” katanya ketika membacakan deklarasi tersebut di Menara Dato’ Onn di sini, Sabtu.
Membacakan deklarasi #solidaritiBersamaNajib mewakili ketua-ketua Umno bahagian seluruh negara, mereka juga menyatakan kekesalan terhadap tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyertai deklarasi tersebut.
Justeru, deklarasi ini mendesak Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Lembaga Disiplin parti mengenakan tindakan disiplin tegas kepada ahli-ahli Umno yang terlibat dalam Deklarasi Rakyat.
Katanya ketua-ketua Umno bahagian bersepakat mendesak kerajaan menamatkan serta-merta perjawatan yang dipegang oleh mana-mana pemimpin atau bekas pemimpin Umno dan Barisan Nasional di dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).