Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendedahkan butiran penjualan tanah di Taman Manggis kepada pihak ketiga dengan nilai harga RM20 juta di Dewan Rakyat, Rabu malam.
Menurutnya, sebuah syarikat swasta membeli tanah yang sepatutnya dibina Projek Perumahan Rakyat (PPR) dari kerajaan negeri dengan harga RM11 juta namun kemudiannya dibatalkan sebelum dirancang pula projek pembinaan hospital swasta dan hotel mewah di lokasi itu.
Segala pendedahan itu berdasarkan dua dokumen lengkap yang diterima pihaknya dan beliau akan menyerahkan dokumen itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.
“Saya telah dapat maklumat tentang dokumen yang menunjukkan cubaan Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) untuk menjual tanah ini kepada pihak ketiga, dokumen ini diberikan oleh pihak tertentu dengan bukti jelas semuanya ada di sini di mana KLIDC membeli tanah dengan harga RM11 juta dan menjual dengan harga RM20 juta, dan saya tak teragak-agak untuk memberi kepada SPRM.
“Apa yang nyata di sini, KLIDC tidak berminat untuk membangunkan tanah tersebut,” katanya pada sesi penggulungan usul menjunjung kasih, titah Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Dewan Rakyat, Rabu.
Ahli Parlimen AMANAH Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Rawa sewaktu mencelah menyatakan sokongan terhadap pendirian Abdul Rahman yang ingin menyerahkan dokumen tersebut kepada pihak berkuasa dan berharap agar ia disiasat dengan telus.
Sebelum itu, kekecohan di Dewan Rakyat bermula apabila Guan Eng menuntut Abdul Rahman menarik balik kenyataan yang dibuatnya minggu lalu, bahawa Guan Eng seorang pembohong.
Abdul Rahman mempertahankan diri dengan mengatakan maksud kenyataan beliau ialah bahawa kenyataan Guan Eng mengenai kadar rumah mampu milik berharga RM400,000 ditetapkan oleh kerajaan pusat sebagai satu pembohongan.
Namun, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud menegaskan bahawa tindakan Guan Eng itu sering memerangkap dirinya sendiri lantaran sentiasa mengeluarkan fakta yang tidak berpaksikan kenyataan.
“Kalau saya kata dia bohong, saya dimarah, tapi dia keluarkan fakta yang tak betul kata rumah PPR kerajaan persekutuan putuskan dengan harga RM400 ribu, rakyat Pulau Pinang marah, tapi bila orang Pulau Pinang marah, dia cari orang yang boleh dituding jari, paling senang adalah ini adalah arahan kerajaan persekutuan.
“Tapi dia lupa yang dia hanya memerangkap diri dia sahaja daripada setiap fakta yang dikeluarkan, dia dah kata dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tanah itu akan diletakkan untuk membina PPR, tapi akhirnya diguna untuk tujuan benda lain pula,” ujarnya.