Solat dan ibadah pada waktu malam takkala orang lain sedang lena dibuai mimpi itu amat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT serta mempunyai pelbagai kelebihan.
Firman Allah SWT;
“Pada malam hari, hendaklah engkau solat Tahajud sebagai tambahan bagi engkau. Mudah-mudahan Allah mengangkat engkau ke tempat yang terpuji.” – Surah Al-Isra’ : Ayat 79
Nabi Muhammad SAW bersabda;
“Hai sekalian manusia, sebar-luaskanlah salam dan berikanlah makanan serta solat malamlah di waktu manusia sedang tidur, supaya kamu masuk syurga dengan selamat.” – HR Tirmidzi
Salah satu ibadah pada waktu tersebut ialah mengerjakan solat sunat Tahajjud.
Pengertian Tahajjud ialah sembahyang sunat apabila terjaga daripada tidur malam walaupun tidur hanya sebentar. Sembahyang ini dilakukan selepas daripada waktu Isyak sehingga terbit fajar. Sebaik-baiknya dilakukan pada waktu satu pertiga malam (kira-kira jam 3.00 pagi) hingga ke fajar. Sembahyang ini dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat secara bersendirian. Lakukanlah seberapa banyak yang termampu. – JAKIM
Ringkasnya 2 rakaat.
Fadhilat Solat Sunat Tahajjud
i. Mendapatkan pengawasan Allah SWT dan menampakkan kesan-kesan ketaatan di wajahnya.
ii. Dikasihi oleh para ahli ibadat dan orangorang mukmin.
iii. Percakapannya mempunyai hikmah, benar dan bijaksana.
iv. Wajahnya bersih bersinar dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar.
v. Dimudahkan hisab ke atasnya.
vi. Senang melalui Titian Siratul Mustaqim umpama kilat yang menyambar.
vii. Menerima anugerah catatan amalan dengan tangan kanan.
viii. Jauh daripada kebinasaan.
Cara Mengerjakan Solat Sunat Tahajjud
Lafaz niat:Maksudnya – “Sahaja aku sembahyang sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala.”
Bacaan:
Pada rakaat pertama hendaklah baca surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun
Pada rakaat kedua hendaklah baca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas
Selepas salam hendaklah membaca doa ini:
Doa Ringkas
“Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan hindarkan kami daripada seksaan api neraka.”
Maksud Doa Solat Sunat Tahajjud
“Ya Allah! Bagi-Mu segala puji-pujian. Dikaulah pendiri langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Bagi-Mulah segala pujian, Dikau Penguasa langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Dan bagi-Mulah segala puji, Pemancar cahaya langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya.
Bagi-Mulah segala pujian, Dikaulah yang benar (Al-haq), janji-Mu adalah benar, firman-Mu adalah benar, perjumpaan dengan-Mu adalah benar, syurga itu benar dan neraka adalah benar. Nabi-nabi itu benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar dan adanya hari Kiamat itu benar.
Ya Allah! Pada-Mulah daku menyerahkan diri, dengan-Mu daku beriman, kepada-Mu daku bertawakal, kepada-Mu daku kembali, dengan-Mu daku menghadapi musuh dan kepada-Mu daku berhukum. Ampunilah dosa kesalahanku yang telah lalu dan yang terkemudian, baik yang daku sembunyikan mahupun yang daku nyatakan, di mana Dikau lebih mengetahuinya. Dikau yang Maha Mendahului dan Maha Mengakhiri. Tiada Tuhan melainkan Dikau! Tiada padaku daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.”
Sukar untuk bangkit pada waktu malam? Berikut beberapa saranan untuk memudahkan kita bangkit:
1. Sebelum masuk tidur, berniat ingin melakukan Solat Tahajjud.
2. Selalu menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.
3. Bersederhana makan dan minum pada waktu siang.
4. Membaca doa dan ayat-ayat Al-Quran sebelum tidur.
Ianya bergantung kepada kehendak dan keinginan seseorang, sekiranya dengan niat yang ikhlas, Insyaallah akan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Muat turun panduan Qiamullail dari JAKIM di sini.