“Kenapa Guan Eng dan kerajaan negeri perlu mengheret rakyat dalam kes rasuah yang sedang dihadapinya sedangkan ruang dan peluang luas telah disediakan oleh sistem kehakiman untuk membuktikan beliau tidak bersalah.
Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang mempertikai tindakan kerajaan negeri itu yang didakwa sedang mempertimbang cadangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan pilihan raya.
Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman mendakwa, tindakan untuk membubar DUN telah dilaporkan oleh media kerajaan negeri yang ditadbir oleh DAP berikutan pendakwaan salah laku rasuah terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng di mahkamah.
“Apakah cadangan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal ini satu muslihat politik oleh DAP dan Pakatan Harapan untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat kemungkinan salah laku dan rasuah oleh Guan Eng apabila kes dibicarakan nanti?
“Apakah Guan Eng dan Pakatan Harapan takutkan kebenaran yang muncul di mahkamah nanti bila perbicaraan bermula akan secara langsung menjejas sokongan rakyat terhadap DAP dan Pakatan Harapan.
“Ini adalah suatu cadangan yang akan membazirkan wang rakyat. Adalah tidak wajar berjuta-juta ringgit wang rakyat dibelanjakan untuk mengadakan referendum hanya kerana Guan Eng tidak mahu bercuti atau melepaskan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pembubaran DUN lebih awal kebiasaannya dilakukan oleh seorang ketua menteri yang sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap dirinya.
“Rakyat perlu ingat bahawa yang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan salah laku rasuah adalah Guan Eng dan bukannya kerajaan negeri.
“Kenapa Guan Eng dan kerajaan negeri perlu mengheret rakyat dalam kes rasuah yang sedang dihadapinya sedangkan ruang dan peluang luas telah disediakan oleh sistem kehakiman untuk membuktikan beliau tidak bersalah.
“Apakah cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal ini satu muslihat politik DAP dan Pakatan Harapan untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat kemungkinan salah laku dan rasuah oleh Guan Eng apabila kes dibicarakan nanti?” soalnya.
Beliau menambah, sekiranya kerajaan negeri berasa khuatir atau gusar mengenai tahap sokongan rakyat terhadap ketua menteri dan kerajaan, satu kaji selidik dan tinjauan boleh dilakukan oleh badan bebas.