KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan yangtersebar di laman sosial kononnya sebuah van polis diletupkan, manakala tiga anggotanya cedera dalam kejadian di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata tindakan mereka yang menyebarkan berita palsu itu hanya menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Van yang terbakar itu (menerusi gambar yang disebarkan) bukan milik polis dan tiada anggota yang cedera seperti didakwa,” katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa malam.
Zainol berkata gambar disebarkan itu adalah kejadian yang berlaku semalam (11 Julai).
“Ketika kejadian, pemilik van itu yang baru tiba dari Kedah telah melaluiJalan TAR, sebelum bahagian enjin vannya itu tiba-tiba terbakar dan merebak keseluruhan kenderaan itu. Tiada unsur kianat,” katanya.
Beliau menegaskan mereka yang bertindak menyebarkan berita palsu itu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.