Seramai 130 penduduk yang tinggal di Rumah Panjang Charles Egat, Telok Telalo, Pulau Kerto, di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah terbakar hari ini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 2.15 petang itu telah memusnahkan keseluruhan rumah panjang 14 pintu berkenaan.
Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu, dibantu sebuah jentera dari BBP Sungai Merah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 2.24 petang.
“Tiba di lokasi kejadian yang terletak 35 kilometer dari balai pada pukul 3.05 petang, bomba dapati sederet rumah panjang 14 pintu yang dibina daripada kayu telah musnah keseluruhannya.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.49 petang dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Farhan Sufyan, tragedi itu menyebabkan 130 penghuni hilang tempat tinggal manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.