HULU YAM BHARU: Seekor daripada sekumpulan ‘ular’ yang melintas jalan dikatakan telah ‘mematuk’ sebuah kereta yang dipandu seorang jurujual sehingga remuk.
Ular itu kemudiannya lari bersama kumpulannya ke dalam semak di Jalan Besar Sungai Tua, Ulu Yam Baharu, Selangor.
Inilah laporan yang diterima anggota polis di Balai Polis Ulu Yam Baharu daripada seorang lelaki berusia 48 tahun pada Khamis lalu.
Bagaimanapun siasatan polis kemudiannya mendapati ular yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah seekor kuda.
“Pengadu yang merupakan seorang lelaki Cina dan berasal dari Puchong sebenarnya tidak fasih berbahasa Melayu sehingga kuda disebut ular. Pengadu sebenarnya diserang sekumpulan kuda yang melintas jalan tersebut,” kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R. Supramaniam kepada Bernama pada Ahad.
Supramaniam berkata, seekor daripada kumpulan kuda yang berkeliaran di kawasan itu telah menendang kereta mangsa sehingga remuk di bahagian hadapan kereta jenis Toyota Camry itu.
Pihak Majlis Daerah Hulu Selangor telah dimaklumkan berhubung perkara itu bagi mengambil tindakan terhadap pemilik kuda terbabit. –