Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan baru sehari dua mengenali Anwar Ibrahim. Begitu juga dengan Anwar kerana mereka sudah mengenali satu sama lain semenjak lama dulu.
Semasa Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri, Mahathir sebenarnya tidak berniat lansung mahu beliau menggantikannya sebagai Perdana Menteri.
Ini kerana Mahathir sedar Anwar bukan jenis yang boleh diarah iaitu ciri-ciri utama Perdana Menteri yang Mahathir mahu, tetapi tiada pada Anwar. Ia begitu ketara hinggakan ketika Mahathir mengumumkan tempoh bayaran semula hutang menjadi 6 bulan, Anwar pula mengumumkan 3 bulan.
ketika Mahathir mengumumkan faedah 3%, Anwar pula umumkan 6%. Dari situ Mahathir sedar Anwar bukan `orangnya’ dan beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri `remote control’ apabila Mahathir berundur.
Ada orang kata Mahathir yang berkonspirasi mahu menjatuhkan Anwar, sebaliknya Anwar pula menuduh Mahathir yang berkonspirasi untuk menjatuhkannya.
Malah dulu sesiapa sahaja yang masuk ke dalam pejabat Mahathir, maka Anwar akan memanggil orang itu ke pejabatnya pula untuk bertanya apa yang dibincangkan antara orang itu dengan Mahathir. Begitulah tahap syak wasangka antara Anwar dan Mahathir. Akhirnya semua tahu akan kesudahannya.
Masalah negara sebenarnya bermula dengan Mahathir. Semua berlaku kerana Mahathir sudah siapkan agenda dirinya yang ingin beliau laksanakan.
Sepatutnya Mahathir menjadi Perdana Menteri sepuas hati dan undur terus apabila tiba waktunya. Namun atas sebab seronok berkuasa, maka Mahathir mahu anaknya juga menikmati keseronokan menjadi Perdana Menteri.
Bukan sahaja kerana seronok menjadi Perdana Menteri maka anaknya juga mesti dijadikan Perdana Menteri tetapi ada tugas yang beliau mahu anaknya lakukan bersama jawatan itu.
Hanya kuasa Perdana Menteri sahaja boleh mengawal dan menguasai kroni, proksi serta harta yang disimpan pada mereka.
Itu sebabnya Perdana Menteri selepas Mahathir harus dihadkan satu penggal sahaja dan Mahathir tahu betapa popularnya Anwar ketika menjadi timbalannya. Keadaan ini pasti membuatkan Anwar jadi lebih kuat dan hebat serta sukar untuk dikawal.
Jika dari dahulu lagi Anwar sudah merbahaya untuk agenda Mahathir menaikkan Datuk Seri Mukhriz, apatah lagi jika kali ini jika Mahathir mengumumkan nama Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang. Ini kerana waktu sudah singkat dan mana mungkin Anwar mahu memegang jawatan lain dalam tempoh dua atau 3 tahun sahaja.
Itu sebabnya Mahathir tanpa rasa malu mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang, hanya untuk menutup laluan kepada sesiapa yang menamakan Anwar.
Muhyiddin adalah boneka yang dikira Mahathir sebagai `Pak Sanggup’ dan `Pak Angguk’.
Jika Muhyiddin sudah menjadi Perdana Menteri, maka Mahathir pula hanya memberi isyarat sahaja kepada beliau untuk `turun’ dengan pelbagai alasan seperti uzur.
Dalam keadaan ini, adalah mustahil jika Anwar yang diumumkan sebagai Perdana Menteri akan akur kepada Mahathir yang digelarnya sebagai `the serpent that wears the crown’. Itulah sebab keseluruhannya, tiada lain melainkan agenda Mahathir sahaja.
Kepimpinan melayu UMNO menjadi busuk kerana Mahathir, pemimpin UMNO seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi busuk hanya kerana orang bernama Mahathir yang mahu agendanya terlaksana.