Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka melantun pada 2017 dan 2018, susulan pemulihan harga minyak dan barangan eksport, kata ketua ekonomi Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik.
Sudhir Shetty berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang perlahan kepada 4.2% pada 2016 daripada 5% tahun lalu, dengan minyak dan eksport perkilangan terjejas disebabkan permintaan global yang lemah.
“Kami sudah melihat trend pemulihan ketika ini,” katanya kepada media Malaysia melalui persidangan video dari Washington DC, hari ini.
Secara keseluruhannya, pertumbuhan dalam ekonomi membangun di Asia Timur dan Pasifik dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh 3 tahun akan datang, berkembang pada kadar 5.8% tahun ini dan 5.7% pada 2017 hingga 2018.
Sementara itu, Bank Dunia menjangkakan China akan meneruskan peralihan beransur-ansur kepada pertumbuhan lebih perlahan, namun lebih mampan daripada 6.7% pada 2016 kepada 6.5% pada 2017 dan 6.3% pada 2018.