SIBU: Gerak hati Shafie Adil untuk mencari cucunya di dalam masjid berjaya menemui Siti Fatimatuzzahrah Bumidin yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sewanya di Taman Permai di sini Isnin lalu.
Pesara Keretapi Tanah Melayu dari Ipoh, Perak berusia 85 tahun yang datang ke sini semalam selepas mendapat berita tentang kehilangan Fatimatuzzahrah, menemui cucunya itu di dalam Masjid An Nur di sini pada 2 petang tadi.
Pelajar tahun akhir jurusan perubatan berusia 25 tahun yang sedang menjalankan latihan di Hospital Sibu ditemui sedang membaca Al-Quran.
“Saya dan anak perempuan saya dibawa di sekitar bandar Sibu untuk mencari cucu saya. Hati saya kemudian tergerak untuk cuba mencarinya di masjid,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Sentral Sibu.
Kariah masjid dan petugas Pusat Aktiviti Warga Emas Masjid An Nur itu yang pernah melihat kelibat seseorang tidur masjid itu semalam membawa Shafie ke dalam masjid di mana Fatimatuzzahrah ditemui.
Saat ditemui, pelajar tersebut enggan bercakap tetapi dalam keadaan menangis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supt Martin Khoo mengesahkan Fatimatuzzahrah berada dalam keadaan selamat, cuma didapati terlalu tertekan dengan peperiksaan yang sedang dihadapinya.
Fatimatuzzahrah kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu untuk diperiksa sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.
Di Ipoh, bapanya Bumidin Tahir, 51, berkata beliau dihubungi anggota polis Sibu mengenai penemuan anaknya kira-kira 2.25 petang tadi.
“Datuk dan mak ciknya bertolak ke sana semalam dan mereka menemui Fatima di dalam sebuah masjid dalam keadaan letih,” katanya sambil melahirkan rasa syukur kerana tiada perkara buruk menimpa anaknya.
Katanya, Segi College, tempat belajar anaknya sebelum memaklumkan pelajar itu tidak menghadiri peperiksaan pada Isnin.
“Sepanjang kehilangannya, saya sentiasa berdoa semoga dia selamat dan naluri hati saya mengatakan yang tidak ada apa-apa perkara buruk yang berlaku terhadapnya,” katanya
Pembantu Hal Ehwal Islam di Masjid Negeri Perak itu berkata kejadian itu merupakan pertama kali berlaku ke atas anaknya dan percaya beliau menghilangkan diri kerana mengalami tekanan dalam pelajarannya.
“Dia tidak ada masalah kewangan, tetapi dia mungkin runsing dan tidak boleh belajar. Dia orang yang sentiasa mahu lakukan sesuatu dengan cemerlang,” katanya sambil menambah anak sulung 7 beradik itu kali terakhir pulang ke Ipoh pada Aidilfitri lepas.
Bumidin berkata, beliau akan bertolak ke Sarawak bersama isterinya Hazila Shaffii, 48, esok untuk melihat keadaan anak mereka itu.
Siti Fatimatuzzahrah sebelum ini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir selama 4 tahun sejak 2009, sebelum kembali menyambung pengajian dalam negeri di Segi College, Damansara.
Dia menjalani pembelajaran dan latihan industri di Hospital Sibu sejak tahun lalu.
Kehilangannya itu dilaporkan rakan serumahnya kepada polis petang semalam.