Akibat malu besar, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mendedahkan butiran terperinci pertemuan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika mempersembahkan Deklarasi Rakyat kepada baginda sebelum ini.
Dalam satu sidang media semalam, beliau yang juga bekas Perdana Menteri enggan mendedahkan butiran lain dalam pertemuan itu yang berlangsung pada 15 September lepas.
Dr. Mahathir hanya menyatakan dalam pertemuan itu, Seri Paduka dan beliau berbincang secara panjang lebar selepas mempersembahkan 1.2 juta tandatangan deklarasi itu yang menuntut tindakan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Baginda menyoal saya mengenai peruntukan undang-undang. Pada akhirnya, saya tidak berjaya meyakinkannya … Baginda tidak berkata apa-apa, baginda cuma berkata bahawa baginda belum bersedia,” katanya kepada pemberita.
Apa yang menjadi persoalan ramai ialah kenapa Dr. Mahathir tidak mendedahkan butiran mengenai titah Yang di-Pertuan Agong sebaliknya beliau mengaku gagal meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak berhubung deklarasi rakyat itu.
Sebenarnya, Dr Mahathir yang sebelum ini amat dikenali sebagai seorang negarawan yang mengilhamkan Wawasan 2020 mendapat malu besar selepas deklarasi yang kononnya dapat menjatuhkan Najib telah gagal.
Meskipun beliau mempersembahkan 1.2 juta tandatangan namun siapa yang boleh mengesahkan bahawa ia adalah tandatangan tulen, bukan palsu seperti yang didedahkan sebelum ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir sibuk menjaja cerita mengenai usahanya untuk menggerakkan deklarasi rakyat yang sebenarnya tidak menggambarkan pendapat serta kemahuan majoriti rakyat Malaysia.
Hakikatnya, untuk menukar kerajaan, Pilihan Raya Umum (PRU) adalah satu-satunya cara dan rakyat boleh menentukannya dengan menjadi pengundi berbanding deklarasi rakyat itu. Sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi mereka yang menggunakan aplikasi ‘Google Form’ boleh mendapatkan tandatangan.
Apa yang pasti, episod berkenaan merupakan satu tamparan kepada Dr Mahathir dan ia turut terpalit kepada anaknya Datuk Seri Mukhriz serta parti barunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).