Pasaran getah Malaysia meneruskan aliran menaik untuk ditutup tinggi hari ini bersandarkan kepada harga minyak mentah yang mungkin pulih.
Seorang peniaga berkata harga minyak dalam lingkungan US$52 setong hari ini akan terus meningkat dengan jangkaan pengurangan pengeluaran oleh ahli-ahli Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum.
“Bagaimanapun, ia adalah bertentangan dengan niaga hadapan getah di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM), yang menurun sedikit, oleh kerana aktiviti pengambilan untung berikutan yen yang lebih kukuh berbanding dolar AS,” kata peniaga itu.
Di pasaran tempatan, stok getah asli (NR) Malaysia meningkat 3.4 peratus kepada 169.465 tan pada akhir Ogos 2016 berbanding dengan bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan.
“Penggunaan getah asli meningkat 0.2 peratus kepada 40.518 tan metrik pada Ogos 2016 berbanding bulan sebelumnya. Industri sarung tangan getah kekal sebagai pengguna domestik utama, menyumbang 73.5 peratus, “katanya.
Pada tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 naik lapan sen kepada 630.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik tujuh sen kepada 485,50 sen sekilogram.
Harga penutup tidak rasmi bagi SMR 20 susut enam sen kepada 628 sen, manakala susu getah pukal menokok 3.5 sen kepada 484,50 sen sekilogram.