Gaji minimum sebanyak RM1,500 telah dicadangkan oleh Pakatan Harapan dalam bajet alternatif 2017 yang diumumkan minggu lepas.
Namun pelaksanaan gaji minimum ini, jika diperhalusi adalah tidak praktikal kerana pembayaran gaji dilaksanakan mengikut produktiviti, bukannya pihak ketiga.
Malah kenaikan gaji ini mungkin boleh memufliskan Malaysia apabila gaji atau pampasan untuk bekerja tidak diikuti dengan pertambahan produktiviti.
Mungkin yang tertanya-tanya siapa yang membuat kenyataan berkenaan. Tidak lain adalah pemimpin pembangkang sendiri, Tun Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu telah melihat mengenai perkara ini empat tahun lepas dan pernah menulis mengenainya dalam blog beliau, berjudul `Minimum Pay’ pada 2 Mac 2012.
Dalam tulisannya itu, Mahathir melahirkan kebimbangan dengan dasar gaji minimum yang bakal meningkatkan gaji secara keseluruhan kerana majikan akan cuba memastikan persamaan antara gred pekerja yang berbeza dapat dikekalkan.
“Jika keadaan itu berterusan dengan kerajaan memilih untuk membayar lebih untuk kurang bekerja, negara akan menghadapi kesukaran kewangan yang serius atau menjadi muflis seperti yang berlaku di negara Barat.
“Kita semua mahu menyaksikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi. Namun kita mesti juga bimbang mengenai daya persaingan kita .Menambah pendapatan mesti meningkatkan kos pengeluaran melainkan produktiviti turut bertambah,” katanya.
Ternyata pendirian Mahathir mengenai gaji minimum telah diluahkannya sejak empat tahun lalu dan ia berbeza dengan pendirian pembangkang yang mencadangkan gaji minimum RM1,500 tanpa mengambil kira kemampuan majikan.
Ia juga menunjukkan Mahathir tidak sependapat dengan rakan-rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan. Semua tahu pembangkang telah lama mencadangkan gaji minimum ini sementara Mahathir pula diketahui membantah pelaksanaan gaji minimum.
Gara-gara pendirian Mahathir mengenai gaji minimum ini juga, beliau pernah dibidas oleh pembangkang ketika itu dengan Anwar Ibrahim merupakan pemimpin pembangkang yang paling lantang mengecamnya sehinggakan Anwar mendakwa Mahathir hanya mahu mengkayakan kroni semata-mata.
Bagi Pakatan Harapan pula, memandangkan mereka sudah menguasai dua negeri, Pulau Pinang dan Selangor, jadi moleklah sekiranya negeri-negeri terbabit melaksanakan dulu gaji minimum ini.
Tidak guna jika mereka sekadar bercakap mengenai pelaksaan gaji minimum sebanyak RM1,500 tetapi tidak mampu melaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang.