Empat suspek utama skim pelaburan Islamic Fund termasuk seorang wanita ditahan di dua lokasi, kira-kira 5 petang tadi.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tiga suspek ditahan di hotel di Kuantan, Pahang, yang dijadikan tempat persembunyian mereka manakala suspek wanita terbabit ditahan di rumah di Kuching, Sarawak.
Katanya, semua suspek berusia lingkungan 19 hingga 43 tahun menjalankan kegiatan pelaburan yang menawarkan pulangan keuntungan 10 hingga 30 peratus sebulan melalui perniagaan pajakan di beberapa hotel di Makkah.
“Antara yang ditahan adalah pengasas skim pelaburan, isteri dan anak lelakinya serta seorang pembantu kanan.
“Sejumlah 37 laporan polis diterima dan 8 kes dibuka membabitkan nilai kerugian RM3.8 juta. Hasil risikan mendapati skim ini berjaya menarik ramai pelabur,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Acryl Sani berkata, siasatan awal mendapati masih ramai lagi pelabur yang enggan atau tidak mahu membuat laporan polis kerana masih berharap untuk mendapat semula wang pelaburan mereka
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek utama sudah menutup semua akaun bank dalam negara dan polis sedang berusaha untuk mengesan sejumlah wang yang dibawa keluar oleh suspek menerusi akaun luar negara.
“Turut dirampas kenderaan mewah milik suspek antaranya Toyota Land Cruiser, Hyundai Starex, VolkswagenPolo, Mitsubishi Triton, Toyota Vellfire dan Toyota Estima.
“Semua suspek yang ditahan akan direman untuk melengkapkan siasatan bagi pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, Acryl Sani menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dan berhati-hati dengan sebarang bentuk skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.