BATU GAJAH: Kira-kira 12,000 penumpang Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) pada Jumaat terjejas ekoran insiden tren kargo tergelincir di KM200.332 di Kampung Bakap berhampiran Stesen Keretapi Batu Gajah di sini, awal pagi tadi.
Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Ridhwan Arshad berkata sebanyak 40 jadual perjalaan ETS iaitu dari Gemas-Kuala Lumpur-Padang Besar menghadapi kesulitan hari ini berikutan kejadian itu.
“Laluan sepanjang 35 kilometer iaitu dari Kampar ke Ipoh telah dihentikan selama 48 jam bagi kerja membaik pulih,” katanya kepada pemberita di Stesen Keretapi Batu Gajah, Jumaat.
Sehubungan itu, katanya, penumpang yang ingin meneruskan perjalanan, KTM menyediakan perkhidmatan bas transit dari Stesen Keretapi Ipoh ke Stesen Keretapi Kampar bagi penumpang yang datang dari utara manakala penumpang dari selatan akan menaiki bas dari Stesen Keretapi Kampar ke Stesen Keretapi Ipoh.
“Penumpang yang tidak berhasrat meneruskan perjalanan boleh menebus semula wang tiket di mana-mana kaunter KTM berhampiran atau menghubungi talian 03-22671200 atau melayari laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my,” katanya.
Beliau berkata penjualan tiket ETS masih berjalan seperti biasa dan perkara itu telah dimaklumkan kepada semua penumpang menerusi pelbagai medium termasuk hebahan radio, kenyataan di lawan sesawang serta poster di kaunter stesen kereta api.
Dalam pada itu, Ketua Operasi KTMB S. Mahendran berkata setakat ini kerja mengalih gerabak kereta api yang tergelincir sedang giat dijalankan.
“Ketika ini adalah waktu cuti sekolah dan cuti perayaan Deepavali, jadi kita akan mencuba sedaya upaya mempercepatkan kerja membaik pulih.
“Bagaimanapun, kita jangka ia akan mengambil masa 48 jam untuk membersihkan satu laluan landasan serta memerlukan masa yang agak lama bagi memulihkan semula bekalan elektrik di laluan terbabit untuk membolehkan perjalanan ETS berjalan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata dalam kejadian pukul 3.15 pagi tersebut, seorang pemandu kereta api berumur 46 tahun hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Batu Gajah manakala pembantunya berumur 23 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Polis, bomba dan KTMB sedang menjalankan kerja pemulihan serta menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.
Kereta api kargo yang membawa 40 gerabak kosong dengan dua enjin lokomotif dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menuju ke Tasek, Ipoh untuk mengambil simen.
Dalam kejadian itu, dua lokomotif dan 25 gerabak telah tergelincir dan menghalang laluan utara dan selatan.