Kenaikan harga minyak masak disebabkan pemansuhan subsidi dan pengapungan harga minyak masak mengikut harga pasaran adalah isu yang sangat sensitif di kalangan rakyat Malaysia.
Perkara-perkara yang berkaitan dengan makanan adalah perkara yang tidak boleh dibawa main dan saya percaya perut-perut yang lapar boleh menyebabkan kerajaan sesebuah negara digulingkan dari tampuk kuasa.
Adakah rakyat terbeban dengan keputusan kerajaan untuk memansuhkan subsidi minyak masak untuk minyak masak bukan paket 1kg ke atas?
Saya pasti ada yang terbeban dan tipulah kalau kata tak ada langsung yang terbeban ditambah dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel bagi bulan November.
Banyak yang naik minyak apabila kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak tetapi tak banyak yang tahu berapa kerajaan belanjakan setiap tahun untuk menampung subsidi minyak masak tersebut.
Subsidi minyak masak atau lebih dikenali sebagai Skim Penstabilan Harga Minyak Masak/Cooking Oil Stabilisation Scheme (COSS) [1] adalah skim yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu mengawal harga minyak masak untuk pengguna di samping untuk menampung kerugian yang dialami pengilang dan pembungkus minyak masak akibat kos minyak sawit mentah yang tinggi.
COSS mula diperkenal dan dilaksanakan pada tahun 2007 sebagai salah satu langkah-langkah untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.
COSS ditampung oleh kerajaan melalui kenaan cess ke atas syarikat-syarikat pengusaha ladang kelapa sawit dan pengeluar minyak kelapa sawit. [2]
Berikutan dengan itu harga minyak masak di Malaysia lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara serantau ASEAN [3]: *Data setakat April 2014 kerana itu kali terakhir dikemaskini oleh KPDNKK:
Sejak 2010 (data terawal tersedia), kerajaan telah memperuntukkan secara purata RM1.05 billion untuk COSS bagi menampung subsidi minyak masak untuk pengguna melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi:
Angka-angka peruntukan untuk COSS oleh kerajaan di atas boleh disemak di dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan yang diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara di laman web Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM):
Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2010 (m/s 92) [4]
Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2011 (m/s 99) [5]
Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2012 (m/s 93) [6]
Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2013 (m/s 103) [7]
Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2014 (m/s 112) [8]
Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2015 (m/s 125) [9]
Peruntukan perbelanjaan tahunan untuk COSS di atas selari dengan pergerakan harga minyak kelapa sawit (MPOB) hantaran tempatan/local delivery sepanjang 2010–2015. [10]
Sepanjang tahun 2012 harga minyak sawit turun dan kekal pada paras di bawah RM2,500 setan seiringan dengan itu peruntukan perbelanjaan untuk COSS juga berkurang dari 2012 hingga 2014 dan kemudiannya meningkat semula pada tahun 2015.
Jadi sedikit sebanyak kita semua sudah faham apa itu subsidi minyak masak atau Skim Penstabilan Harga Minyak (COSS), berapa peruntukan tahunan yang disediakan oleh kerajaan untuk subsidi minyak masak ini dan juga kenapa peruntukannya berubah setiap tahun.
Seterusnya mari kita lihat perbelanjaan bulanan isi rumah di Malaysia untuk minyak masak menggunakan data daripada Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2014 yang dibanci dan diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. [11]
Menurut bancian yang dijalankan Jabatan Perangkaan Negara ke atas isi rumah seluruh Malaysia, setiap isi rumah secara purata membelanjakan RM17 sebulan untuk minyak masak dan perbelanjaan isi rumah untuk minyak masak adalah 0.5% daripada keseluruhan perbelanjaan bulanan isi rumah Malaysia.
Saya tidak boleh bercakap mewakili pihak orang lain, mungkin ada yang membelanjakan untuk minyak masak lebih daripada RM17 setiap bulan dan ianya bergantung kepada saiz isi rumah itu sendiri.
Bagi saya secara peribadi ianya konsisten dengan penggunaan isi rumah saya yang membeli minyak masak 5kg setiap bulan berharga lebih kurang RM13–14 sebelum subsidi dimansuhkan bermula semalam.
Seterusnya mari kita lihat perbelanjaan penggunaan isi rumah untuk minyak masak mengikut kelas kumpulan perbelanjaan:
Semakin tinggi kelas perbelanjaan sesuatu isi rumah semakin tinggi perbelanjaan ke atas minyak masak sesuatu isi rumah tersebut.
Secara logiknya isi rumah yang berpendapatan tinggi akan membeli lebih banyak minyak setiap bulan lebih daripada isi rumah yang berpendapatan rendah.
Oleh yang demikian isi rumah yang berpendapatan tinggi ini akan menerima lebih banyak subsidi minyak masak daripada kerajaan berbanding isi rumah yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Selain daripada itu restoran-restoran, kedai-kedai makan di luar sana juga menikmati subsidi minyak yang disediakan kerajaan dan kumpulan isi rumah yang kebiasaannya membelanjakan wang untuk makan di luar adalah kumpulan isi rumah yang berpendapatan tinggi.
Isi rumah yang berbelanja di bawah RM999 setiap bulan hanya membelanjakan RM82 setiap bulan untuk makanan dan minuman di luar rumah manakala isi rumah yang berbelanja lebih RM10,000 setiap bulan membelanjakan RM1,367 setiap bulan untuk makanan dan minuman di luar rumah.
Secara tidak langsung juga kumpulan isi rumah yang berpendapatan tinggi menerima subsidi minyak masak apabila mereka makan di luar rumah.
Apabila isi rumah berpendapatan tinggi menikmati lebih banyak subsidi daripada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, subsidi minyak masak ini boleh dikira sebagai regresif sama seperti subsidi pukal petrol dan diesel dua tahun yang lepas apabila golongan yang membawa kereta mewah import lebih banyak mengisi minyak berbanding golongan yang membawa kenderaan tempatan ataupun golongan yang tidak mempunyai kenderaan persendirian langsung.
Subsidi pukal berbentuk regresif ini adalah tidak adil dan sepatutnya subsidi disasarkan kepada golongan yang memerlukan dan golongan yang mampu sepatutnya membayar pada harga pasaran.
Sebab itu juga kerajaan meningkatkan bayaran BR1M kepada isi rumah dan individu yang layak, supaya subsidi ini dapat disalurkan terus kepada mereka yang memerlukan di samping dapat mengurangkan beban kepada isi rumah yang terkesan apabila subsidi minyak masak dan subsidi-subsidi pukal yang lain dihapuskan.
Saya ada terbaca ada yang mempertikaikan kenapa subsidi minyak masak dihapuskan sedangkan Malaysia adalah antara negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia (kedua selepas Indonesia).
Walaupun Malaysia adalah antara negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, hasil jualan kelapa sawit dan minyak sawit bukanlah 100% diperolehi oleh kerajaan.
Kerajaan Malaysia hanya mengutip cukai dan levi ke atas hasil kelapa sawit iaitu duti eksport minyak kelapa sawit mentah, duti eksport minyak kelapa sawit diproses, duti eksport isirong kelapa sawit (palm kernel), levi minyak kelapa sawit dan levi buah kelapa sawit.
Angka-angka hasil pendapatan sebenar di atas boleh disemak didalam Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan di dalam laman web Perbendaharaan Negara seperti pautan di bawah:
Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2011 [12]
Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2012 [13]
Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2013 [14]
Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2014 [15]
Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2015 [16]
Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2016 [17]
Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2017 [18]
Secara purata hasil kelapa sawit yang kerajaan kutip daripada duti dan levi ini hanyalah sejumlah RM300 juta setahun berbanding purata subsidi minyak masak tahunan RM1 billion setahun.
Jadi walaupun Malaysia adalah negara pengeluar minyak kelapa sawit kedua terbesar dunia, penjualan-penjualan berkaitan minyak kelapa sawit diraih oleh syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit dan kerajaan hanya mengutip duti dan levi melalui jualan tersebut.
Hasil pendapatan berkaitan kelapa sawit yang dikutip kerajaan tidak dapat menampung subsidi minyak masak yang dibelanjakan setiap tahun.
Subsidi minyak masak ini juga menggalakkan penyeludupan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab contohnya minyak masak peket 1kg yang dijumpai berlambak digolok seperti dilaporkan berita baru-baru ini. [19]
Ada yang bertanya kenapa kerajaan mahu menghukum rakyat Malaysia apabila penyeludupan berlaku sedangkan kerajaan yang gagal menguatkuasa dan mengawal sempadan sehingga minyak masak Malaysia berjaya diseludup ke negara jiran.
Jika kerajaan menambah penguatkuasaan ia juga akan melibatkan pertambahan kos seperti penggajian pegawai-pegawai penguatkuasa yang juga akan melibatkan kos yang tinggi.
Pemansuhan subsidi juga menghapuskan insentif untuk penyeludup dan pegawai-pegawai untuk memberi dan menerima rasuah.
Pemansuhan subsidi minyak masak adalah lebih efektif untuk mengelakkan berlakunya penyeludupan ke negara jiran dan mengelakkan kekurangan bekalan stok minyak masak akibat penyorokan stok oleh peniaga-peniaga yang tak bertanggungjawab.
Walaubagaimanapun penguatkuasaan juga masih penting kerana minyak paket 1kg yang masih disubsidi pada harga RM2.50 sepaket dan minyak paket ini lah yang kebiasaannya diseludup ke negara jiran.
Rasional pemansuhan subsidi minyak masak adalah jelas.
Tiada siapa yang suka apabila berlaku kenaikan harga barangan asas seperti minyak masak, tetapi ini adalah langkah terbaik untuk memastikan tidak berlaku perkara-perkara seperti yang saya terangkan di atas dan wang yang dijimatkan boleh disalurkan kepada golongan yang memerlukan melalui bantuan tunai seperti BR1M.
Jika harga minyak kelapa sawit turun pada masa depan, kemungkinan besar harga minyak masak juga akan turun sama seperti harga minyak petrol dan diesel di stesen-stesen minyak.
Semoga dengan tulisan saya ini ramai yang akan memahami rasional di sebalik pemansuhan subsidi minyak masak dan tidak menuduh kerajaan sebagai zalim dan tidak prihatin dengan nasib rakyat.
Setiap tindakan itu ada kesan baik dan buruknya tetapi pemansuhan subsidi minyak masak ini, bagi saya, adalah suatu tindakan yang positif dan akan memberi faedah kepada ekonomi dan kewangan negara Malaysia pada jangka masa panjang. [syahir521]
Rujukan: