Sebanyak RM593.32 juta akan dibayar oleh kerajaan kepada lapan pemegang konsesi lebuh raya sebagai pampasan berikutan keputusan kerajaan untuk menangguhkan kenaikan tol di 12 buah lebuh raya sehingga akhir tahun hadapan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sejumlah RM59.77 juta lagi akan dibayar kepada empat lagi pemegang konsesi lebuh raya pada tahun hadapan.
“Jumlah keseluruhan pampasan yang dibayar adalah RM653.09 juta.
“Bagaimanapun, jumlah sebenar pampasan hanya akan dapat ditentukan setelah proses audit bersama dimuktamadkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan juruaudit syarikat konsesi terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.