PASIR PUTEH – Seorang pekerja pelantar mengamuk secara tiba-tiba sebelum meninggal dunia secara misteri ketika dalam perjalanan ke sebuah klinik berhampiran sebuah stesen minyak di pusat bandar ini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi, Mohamad Fadzlee Che Noh, 35, yang mengadu tidak sihat dalam perjalanan ke sebuah klinik swasta dengan ditemani bapanya, Che Noh Busu, 62, serta seorang adik perempuan, Wan Jaizah, 15.
Mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dikatakan secara tiba-tiba bertindak agresif dengan menumbuk dan menendang kerusi dan bahagian dalam kereta.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhamad berkata, sebaik sahaja bapanya membuka pintu kereta, mangsa difahamkan keluar dan terus berlari menghala ke arah pusat bandar sebelum berpatah balik dan kembali ke kenderaan lalu menjerit seperti orang kurang siuman.
“Bapanya yang tidak berdaya meminta pertolongan orang ramai untuk memegangnya. Namun dia meronta-ronta mengakibatkan berlaku pergelutan dengan orang ramai,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Abdul Rozak, akibat kejadian itu mangsa mengalami sedikit kecederaan di bahagian muka akibat bergesel dengan jalan raya.
“Beberapa anggota polis tiba di lokasi turut membantu menenangkan mangsa. Ketika keadaan kelam kabut, pemuda berkenaan tiba-tiba kaku, tidak bergerak dan pihak perubatan tiba tidak lama selepas itu mengesahkan dia telah meninggal dunia,” katanya.
Difahamkan, mangsa yang pulang ke rumah sejak 29 Oktober lalu pernah memberitahu bapanya dia mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam selain sering bercakap seorang diri sejak beberapa hari lalu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.