Purata 18 kematian sehari menjadikan Malaysia antara negara tertinggi di dunia yang penduduknya meninggal akibat kemalangan jalan raya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata, meskipun pelbagai agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sentiasa membuat pemantauan, tetapi kemalangan membabitkan kematian tetap tinggi.
“Namun begitu, kita tidak berhenti melakukan kempen kesedaran dan program keselamatan jalan raya seperti meningkatkan penguatkuasaan, tetapi kita lihat anak muda ini kebanyakannya cenderung melanggar undang-undang.
“Mereka merempit saban minggu dan inilah faktor kepada kes kemalangan maut di jalan raya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang mendedahkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan tahun lalu sebanyak 4,203 kes.
Terdahulu menjawab soalan lisan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) mengenai jumlah motosikal di Malaysia dan berapa yang tidak memiliki lesen, Aziz berkata, seramai 1.2 juta penunggang motosikal di negara ini tidak mempunyai lesen memandu iaitu antara lapan hingga 10 peratus daripada 15 juta penduduk yang layak memohon lesen memandu.
Katanya, hanya 7.6 juta orang iaitu lebih 50 peratus penduduk berumur 16 tahun ke atas memiliki lesen motosikal berbanding 12,089,747 motosikal berdaftar dengan JPJ hingga 31 Disember 2015 lalu.
“Kerajaan menitik berat isu berhubung keselamatan jalan raya ini termasuk aspek dan prosedur pelesenan pemandu,” katanya.
Menurutnya, kaedah latihan dan penilaian calon pemandu yang dilaksanakan ketika ini adalah mengguna pakai kaedah asal dalam menilai tahap bakal pemandu terutama mengenai kemahiran pemanduan, kefahaman undang-undang, peraturan keselamatan jalan raya dan sikap pemandu selamat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, bagi meringankan beban rakyat, kerajaan melaksanakan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dikendalikan JPJ.