Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor membidas campur tangan wakil rakyat DAP berkaitan cadangan untuk membahaskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
ADUN Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, tindakan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) mengeluarkan kenyataan pindaan enakmen itu tidak perlu dilakukan adalah biadab apatah lagi ia keluar dari mulut orang bukan Islam.
“Kampung Tunku (Weng San) mengeluarkan kenyataan semalam (kelmarin) mempersoalkan ketidakpuasan hati ADUN BN berhubung tindakan Speaker DUN, Hannah Yeoh menolak usul pindaan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
“Saya ingin bertanya kenapa dia melontarkan persoalan kewajaran pindaan enakmen ini? Siapa Kampung Tunku untuk menyibuk hal ehwal Islam? Adakah Kampung Tunku orang Islam?” katanya pada sidang media di lobi DUN, di sini, semalam.
Kelmarin, Weng San mempersoalkan kewajaran enakmen itu dipinda kerana pindaan enakmen berkenaan sudah dilakukan pada tahun lalu.