Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan kepada ahli Parlimen bukan Islam supaya tidak berlagak seperti Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau ‘Ahok’ yang pernah menghina Islam dan Al-Quran.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, mereka sepatutnya tidak perlu mencampuri urusan Rang Undang-Undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 (RUU355) yang dibawanya di Dewan Rakyat kerana tidak berkaitan dengan mereka.hadiawangpas
Katanya, tindakan menghalang RUU355 berkenan tidak lebih hanya bertujuan mendapat kepentingan politik masing-masing.
“Saya ingatkan kepada ahli Parlimen bukan Islam, jangan nak berlagak macam Ahok di Jakarta.
“RUU 355 tidak sepatutnya diganggu oleh kalangan ahli Parlimen yang bukan Islam. Namun terdapat ahli politik bukan Islam yang ganggu meskipun tidak mewakili rakyat beragama Islam sepenuhnya.
“Ianya lebih untuk politik mileage masing-masing daripada (memikirkan) kepentingan awam,” kata Abdul Hadi.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di lobi Parlimen pada Khamis.
Sebelum itu, Hadi meminta bacaan kedua RUU 355 ditangguh ke sidang akan datang kerana mahu member lebih penjelasan berhubung pindaan tersebut.
Menurut Hadi ketika pindaan RUU yang sama pada 1965 dan 1984, tiada tentangan daripada ahli Parlimen bukan Islam seperti hari ini.
“Kita lihat tujuan RUU 355 ini adalah untuk menaikan taraf Mahkamah Syariah yang telah diletakkan ditempat yang hina pada zaman penjajahan.
“Masa berjaya dipinda pada kedua-dua tahun tersebut tiada tentangan ahli Parlimen bukan Islam ketika itu termasuk Lee Kuan Liew,” katanya.
Justeru satu perhimpunan raksasa akan dianjurkan PAS melibatkan umat Islam seluruhnya termasuk orang bukan Islam yang menyokong RUU 355 berkenaan.
Ahok baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila didapati menghina Al-Quran sehingga berlaku tunjuk perasaan besar-besaran di ibu kota Jakarta.