Pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah dua kawasan yang menyaksikan bagaimana sistem baharu memilih calon dilaksanakan dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan metodologi sama untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU Ke-14) nanti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Apa yang telah kita lakukan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah cara yang lebih tersusun serta objektif bagi menilai kriteria yang digunapakai dalam proses memilih dan menentukan calon yang bakal mewakili BN pada pilihan raya akan datang dan ia ternyata dan terbukti berkesan,” ujar beliau yang juga pengerusi BN.
Bercakap dalam temuramah dengan Kumpulan Media Star di Seri Perdana pada Sabtu, Najib menjelaskan, ketika beliau muncul dengan konsep “winnable candidate” ramai yang beranggapan diri mereka adalah calon yang berupaya untuk menang.
“Tetapi hakikatnya mereka tidak…ketika itu, kami (BN) tidak mempunyai metodologi yang objektif untuk menentukan apakah bentuk “winnable candidate” yang dimaksudkan itu namun sekarang kita telah pun mengenalpasti sistem yang sesuai dan kita telah mengujinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini dan cara baharu ini terbukti berjaya.
“Jadi kita akan cuba untuk membuat penentuan yang sama pada peringkat nasional dan bagi mereka yang mahu diri mereka dipertimbangkan sebagai “winnable candidate” mestilah memiliki kelayakan minimum tertentu. Ia samalah juga macam hendak masuk universiti, calon mestilah lulus minimum 2A atau 2B dan jika anda tidak memiliki kelayakan minimum ini, dan hanya mempunyai 2C misalnya, anda secara automatik tidak layak untuk dipertimbangkan.
“Tetapi jika anda memiliki kelayakan yang diperlukan, kita akan pilih di antara yang terbaik sebagai calon, mungkin terdapat tiga calon yang sama layak maka kita akan pilih satu daripada tiga itu,” jelas Najib.
Menurut beliau, sekiranya kriteria minimum yang ditetapkan itu tidak dipenuhi, seseorang itu tidak akan dipertimbangkan langsung.
Dengan cara itu, kata Najib, tugasnya sebagai presiden parti akan menjadi lebih mudah dalam menentukan siapakah “winnable candidate” untuk pilihan raya akan datang kerana mereka yang tidak memenuhi kelayakan minimum sudah pun terkeluar daripada senarai calon.
“Dan mereka tidak layak dipertimbangkan bukan kerana salah saya tetapi kerana tidak memilik merit untuk dipertimbangkan. Saya tidak dapat lakukan apa-apa dan mereka kena terima hakikat yang mereka tidak terpilih sama seperti hendak masuk ke universiti,” tegas Najib lagi.
Kepada pertanyaan, apakah benar terdapat nama yang telah “established” di dalam parti termasuk di kalangan parti-parti komponen gagal dalam ujian kelayakan minimum ini, perdana menteri sekali lagi menyatakan sistem penilaian baharu ini telah pun diuji di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Kedua-duanya adalah kerusi Umno tetapi prinsip dan kriteria yang sama boleh digunapakai untuk parti-parti komponen yang lain. Dan kita akan lihat bagaimana hasilnya nanti. Sepertimana yang saya nyatakan tadi, ini adalah satu metodologi yang telah digunapakai dan diuji secara teori dan praktikal di dua pilihan raya kecil dan terbukti berhasil.
“Ia juga berjaya dalam konteks Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini dan saya harap ia akan menghasilkan kejayaan apabila tiba hari yang ditunggu-tunggu nanti (PRU-14),” kata Najib sambil tersenyum.
Dan bercakap mengenai PRU-14, beliau berkata, adalah terlalu awal untuk membuat andaiannya kerana ia bergantung bilakah pilihan raya tersebut itu akan berlangsung.
“Saya adalah ahli politik yang realistik…saya faham bahawa kejayaan masa lalu (Sarawak, Sg Besar dan Kuala Kangsar) tidak semestinya melonjakkan kejayaan yang sama pada masa depan. Tetapi ia adalah sebab untuk kita bersikap optimistik bahawa kejayaan ini boleh dan mampu dicapai.
“Kita mesti berwaspada agar tidak terlalu leka dan tidak boleh mengambil mudah dan bersikap angkuh dengan kejayaan masa silam. Sebaliknya kita harus terus fokus ke atas apa yang harus dilakukan. Inilah mesej saya kepada ahli-ahli Umno dan Barisan, iaitu melakukan apa yang harus dilakukan untuk memperkukuhkan parti dan bahawa kita menawarkan yang terbaik untuk negara ini,” tegasnya.
Menjawab pertanyaan tentang bagaimanakah beliau akan mengimbangi di antara muka lama dengan muka baru atau “winnable candidates”, Najib menegaskan, apa yang perlu disedari ialah, keputusan terakhir adalah di tangan kepimpinan parti.
“Tetapi sudah tentulah dalam membuat pertimbangan, kita perlu mengambil kira dan menghormati aspirasi bahagian. Semua bahagian mahukan calon tempatan atau lokal. Mereka tidak mahu seseorang dari luar untuk masuk dan menjadi calon. Tetapi calon tempatan itu juga harus melalui proses ujian kelayakan yang sama. Dan sekiranya mereka layak, kenapa tidak?
“Mungkin juga akan terdapat satu atau dua pengecualian daripada kelayakan yang ditetapkan dalam sistem baharu itu nanti kerana ada kalanya dalam kes-kes tertentu, seseorang calon itu diperlukan atas sebab-sebab yang munasabah. Jadi akan terdapat calon yang akan dipilih berasaskan faktor itu.
“Jadi pada akhirnya, ahli-ahli parti haruslah memahami bahawa terdapat keperluan yang jauh lebih besar daripada kepentingan mereka sendiri. Untuk itu saya sendiri perlu menyakinkan orang ramai jika terdapatnya keperluan demikian. Dan semua harus memahami dan menghargai kenapa kita berbuat demikian. Ya, saya perlu bercakap dengan kepimpinan bahagian dan begitu juga dengan kepimpinan parti harus membantu saya menjelaskan hal ini,” kata Najib.