GEORGE TOWN: Tiga orang termasuk seorang ‘Datuk’ maut dalam kejadian tembak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Khamis.
Kesemua mereka berada di dalam kenderaan masing-masing ketika kejadian pukul 7.30 malam ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kejadian tembak itu dan siasatan sedang dijalankan.
Difahamkan, mangsa keempat dalam kejadian itu merupakan seorang wanita telah mengalami kecederaan serius selepas ditembak dan telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
Selain itu, seorang jurugambar dari RTM, Muhamad Amirul Amin Amir yang menunggang sebuah motosikal turut terkena tempias peluru di bahunya ketika melalui tempat kejadian.
Jelas Muhammad Amirul, ketika kejadian berlaku dia bersama kawannya, Mohamad Iskandar Osman dalam perjalanan menuju ke Pesta Pulau Pinang.
Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku sepanjang jalan menuju ke Jambatan Pulau Pinang.