Bismillahirrahmanirrahim
Sidang Hadirin,
Izinkan, saya mulakan ucapan penggulungan pada petang yang penuh ketenangan kali ini dengan membaca kalimah suci Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 24-25 yang berbunyi:
Maksudnya: “Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah, telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat”.
• Hayatilah bait-bait dari ayat tadi, bagaimana begitu jelas bahawa perhimpunan kita ini tidak lain dan tidak bukan semata-mata mencari kebijaksanaan.
• Selama hampir satu minggu kita berkampung di dewan bertuah ini, sebagai sebuah keluarga besar, di mana tiada batas pemisah atau perbezaan sesama kita. Meskipun seorang ahli biasa UMNO yang tidak punya apa apa jawatan dalam parti mahupun ketua bahagian, hatta Presiden sekalipun, semangat dan rohnya adalah kita sama.
• Inilah budaya UMNO, inilah cara UMNO yang meletakkan kebersamaan dan demokrasi sebagai landasan berpolitik, di mana kita bebas bersuara, bebas melontarkan pandangan, mahupun melantunkan kritikan, tiada tegahan, tiada larangan, kebebasan ini adalah mutlak, oleh itu jangan ada mana-mana pihak yang mahu atau cuba mengatakan bahawa Perhimpunan Agung UMNO tidak demokratik.
• Pemerhatian saya, sepanjang di perkampungan ini, para perwakilan di peringkat tiga sayap kian bijak menegur, kian matang mengkritik dengan penuh kesantunan serta berhemah dalam mengutarakan sebarang usul. Inilah budaya UMNO.
• Kita meletakkan kesusilaan dalam berhujah, kita mengutamakan budaya adab dan sopan sebagai orang Melayu di mana
Melayu itu menegur dalam seloka
Membidas dalam gurauan senda
Menyindir dalam gelak ketawa
Meminta suratnya tiada
Memohon biarpun tanpa suara
Yang di bawah tugasnya meminta
Yang di atas jangan tutup mata
Janganlah buat-buat lupa
Kita di sini sebab mereka
Sementara jawatan masa ada
Berilah apa yang ada
Tanpa perwakilan siapalah kita
Tambahan lagi dah dekat pilihan raya
Jentera perlu diperkasa
Menangkan calon BN semua
Hadiah untuk Presiden kita
Daya tahannya luarbiasa
Wala kita kepadanya
Tanda kesetiaan ahli semua
Demi UMNO kita terus bersama.
• Justeru, ayuh khabarkan kepada semua khalayak, baik di dalam parti mahu pun di luar sana, bahawa kita adalah parti yang menerajui kerajaan yang bertanggungjawab. Sejak Merdeka lagi, kita amat responsif kepada kehendak dan keperluan rakyat.
• Saya ambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh wakil Negeri Sembilan berhubung kebanjiran PATI dan pekerja asing di negara kita. Sebagai makluman, Kementerian Dalam Negeri telahpun mengambil keputusan agar kemasukan pekerja asing dibekukan serta-merta pada 19 Februari 2016.
• Keputusan ini dibuat hasil maklum balas dan rungutan masyarakat. Namun, ternyata ia telah memberi kesan besar kepada industri kelapa sawit dan industri pembuatan perabot. Pendapatan eksport negara dalam sektor berkenaan, telah mengalami kemerosotan dengan hanya RM8 bilion pada tahun 2016 sedangkan sasaran sebenar berjumlah RM10 bilion.
• Kerajaan telah dimaklumkan berdasarkan soal selidik yang dijalankan oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendapati 84% daripada pengusaha berdepan masalah kekurangan tenaga kerja berikutan pelaksanaan pembekuan pengambilan pekerja asing baru.
• Pihak kerajaan dan majikan akan terus mencari jalan terbaik agar pendapatan eksport negara tidak berpanjangan terjejas dan dalam masa yang sama menggesa agar masyarakat dapat mengambil peluang pekerjaan yang dikosongkan oleh pekerja asing ini.
• Bagi pekerja tanpa izin, rekod di Kementerian Dalam Negeri sehingga Disember 2016 menunjukkan bahawa sebanyak 10,109 operasi telah dijalankan, 1,095 majikan telah ditangkap, 24 agen ditahan dan 59,249 PATI telahpun kita usir pulang ke negara asal.
• Justeru, yakinlah setiap persoalan berhubung pendatang asing ini sedang dan pasti akan ditangani oleh kerajaan.
CAMPUR TANGAN ASING
Hadirin dan Hadirat Sekalian,
• Revolusi tanpa keganasan yang di asaskan oleh Gene Sharp melalui Albert Einstein Institute pada tahun 1983 bertujuan untuk melatih, merancang dan membangun strategi bagaimana menjatuhkan sesebuah kerajaan demokratik. Beliau merupakan pelopor kepada Peperangan dan Penjajahan bentuk baru di negara-negara sasaran.
• Albert Einstein Institute menerima dana dari National Endowment for Democracy (NED), International Republic Institute (IRI), George Soros Foundation dan Open Society Funds. Beliau menghasilkan 2 buah karya iaitu:
• How To Start A Revolution,
• From Dictatorship to Democracy,
• Beliau memperkenalkan 198 Kaedah Revolusi Tanpa Keganasan yang seterusnya dipelopori oleh Popovic di Serbia. Setelah mendapat kejayaan, beliau mempelopori gerakan REVOLUSI WARNA (COLOR REVOLUTIONS) yang terkenal melalui sebuah institusi yang dikenali sebagai CANVAS ( Center for Applied Non Violent Actions Strategies ) dan juga OTPOR yang menjadikan lambang tangan dalam hampir kesemua revolusi.
• Melalui CANVAS ini, beberapa revolusi telah dilancarkan seperti berikut :
• BULLDOZER REVOLUTION 2000
• GEORGIA ROSE REVOLUTION 2003
• UKRAINE ORANGE REVOLUTION 2004
• LUBNAN CEDAR REVOLUTION 2005
• KYRGYZTAN TULIP REVOLUTION 2005
• KUWAIT BLUE REVOLUTION 2005
• IRAQ PURPLE REVOLUTION 2005
• CZECHOSLOVAKIA VELVET REVOLUTION 1989
• IRAN GREEN REVOLUTION 2009-2010
• Color Revolutions ini telah merebak ke negara-negara Arab seperti di Libya, Syria, Mesir, Tunisia dan Yaman.
• Di Malaysia, beberapa pertubuhan telah dikesan diresapi idea Color Movement ini seperti :
• SUARAM
• BERSIH
• BAR COUNCIL
• MALAYSIA KINI DOT COM
• SARAWAK REPORT
• Organisasi seperti Bersih, yang telah melancarkan 5 siri demonstrasi jalanan ternyata adalah ditaja oleh SOROS melalui National Demoracy Institute (NDI) dan Open Society Foundation (OSF). Ini sepertimana yang diakui sendiri oleh Maria Chin Abdullah, dalam laporan oleh Malaysian Insider 27/11/2011 mengaku menerima sejumlah wang dari OSF yang kononnya untuk membiayai aktiviti menuntut pilihanraya yang adil dan saksama. Tetapi, hakikatnya mereka melancarkan revolusi warna kuning untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada tetapi GAGAL!
• Sesungguhnya kerajaan tidak akan membiarkan negara ini tumbang seperti mana negara-negara yang disebutkan tadi. Sehubungan itu, sebuah task-force telah ditubuhkan bertujuan untuk memantau dan membuat penyiasatan , yang berkaitan terhadap gerakan menggulingkan kerajaan yang dipilih secara legitimate oleh rakyat. Task force ini dianggotai oleh PDRM, SPRM, BNM dan AG Chambers. Biarlah task-force ini menjalankan tugas mereka bebas, dan sekiranya hasil siasatan menunjukkan ada bukti-bukti yang kukuh, maka tindakan pendakwaan akan di ambil.
UMNO 2: KERIS 2314
Sidang perwakilan yang dikasihi,
• Dua tahun yang lalu, dipentas keramat ini, YAB Dato Sri Presiden, telah melontarkan satu idea, dalam ucapannya agar bentuk latihan kepada orang-orang UMNO dibuat secara holistik, agar ianya lebih segar dan berkesan.
• Selaku Pengerusi Biro Latihan dan Penyelidikan, saya telah menyahut seruan itu, dengan mengubah secara total, bentuk pelatihan sedia ada, kepada suatu bentuk latihan yang berimpak tinggi yang berteraskan kepada pemantapan jiwa, pemikiran, roh serta tindakan.
• Inti programnya adalah, Karomah, Ehsan, Ruhiyyah, Insaniah dan Setia, atau lebih popular dikenali sebagai KERIS 2314. Ia satu program yang dilihat mampu mengembalikan semula JIL PERJUANGAN UMNO.
• KERIS, dihasilkan demi untuk menggamit dan memasakkan semula roh-roh perjuangan parti, ke dalam diri setiap ahli dan pemimpin, dengan satu matlamat, iaitu kuasa kerajaan ini perlu DIMANDATKAN
• SEMULA, dengan pengguasaan 2/3 pada PRU ke 14 nanti. Pastinya ribuan yang hadir di sini pernah mengikuti Program KERIS 2314.
• Sidang perwakilan, saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk menghebahkan bahawa KERIS 2314, 2.0 akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, sebagai persediaan menjadi “The Last Bastion” untuk mempertahankan “KOTA BIRU” ini.
ISU SEMASA: ROHINGYA
Para perwakilan dan ahli UMNO seluruhnya,
• Saya dapati seramai 17 pembahas telah menyuarakan isu Rohingya. Namun begitu, dalam keadaan kita berkampung dengan penuh kemeriahan dan keseriusan di sini, atas rasa keinsafan dan kemanusiaan, jangan sesekali kita terlalai dan lupa, akan nasib derita warga Rohingya, yang disembelih tanpa belas, ditindas tanpa ehsan dan masjid surau serta Al-Quran juga ada yang dibakar dengan penuh kedajjalan.
• Pembersihan etnik begitu nyata dilakukan oleh pihak berkuasa Myanmar, terhadap hampir 8 juta orang Islam di sana.
• Jadi, apakah boleh kita di sini hanya sekadar memerhati sahaja ? Tidakkah terdetik di hati kita untuk turut sama merasai kepedihan mereka ?
Sidang perwakilan,
• Kejahatan dan kekejaman yang tidak berperi kemanusiaan ini, WAJIB kita hentikan!, kerana itulah saya menyambut, seruan Dato’ Seri Presiden kepada seluruh rakyat, untuk menzahirkan kebencian, dengan bersolidariti untuk Rohingya.
• Saya ulangi sekali lagi, ayuuuhhh!! kita semua pejuang bangsa, pejuang agama, esok pagi jam 8, ramai-ramailah kita memakai pakaian serba hitam dan hadir ke PERHIMPUNAN SOLIDARITI UMMAH UNTUK ROHINGYA, di Stadium Titiwangsa.
• Esok, dijangkakan berpuluh-puluh NGO dan pelbagai pihak dari seluruh pelusuk negara akan sama berhimpun.
• Sudah sampai masanya, kita menuntut, agar ada jalan penyelesaian muktamad, dan menyeluruh terhadap JENAYAH KEMANUSIAAN iaitu pembersihan etnik Rohingya.
• Ini bukanlah soal agama semata, tetapi ianya menjangkau kepada soal kemanusiaan dan hak asasi kemanusiaan.
• Insyaallah, satu deklerasi akan kita hasilkan esok, yang kelak akan kita angkat ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN.
• Saya, Dato Seri Presiden dan Tok Guru Haji Hadi akan hadir sama bagi menyampaikan ucapan. Jadi, ayuh lah!! kita manifestasikan, kebersamaan fikrah dan jiwa rakyat Malaysia, atas tragedi tidak berperikemanusian, terhadap etnik Rohingya di Myanmar ini.
Pesan penyair Adam Mohd Noor dalam pusinya:
Inilah tikar merdeka,
terpilih binaan generasi lalu
jangan sekali-kali gadaikan ia kepada penjajah
jangan sekali-kali hamparkan ia kepada pembelot bangsa
jangan sekali-kali meletakkan nilai harganya kepada sesiapa
kerana tikar ini, hanya untuk pejuang terbilang
kerana tikar ini, hanya untuk rakyat berhati waja
kerana tikar ini, tiada ternilai untuk ditukar ganti
hanya kepadamu, kami bersetia dan bersumpah
hanya kepadamu, kasih kami tumpah melimpah
kamilah, insan paling bertuah menduduki tikar merdeka ini
bersila dan berzikir hayat, menyusun sejarah bangsa…
ALLAHUAKHBAR!!!