Mkini sekali lagi menyemak fakta Komunikasi Strategik BN (BNSC) Penyata berbanding Tony Pua. Ternyata Mkini tidak dapat mencari apa-apa kesalahan fakta BNSC. Malah, kesimpulan mereka adalah bahawa peningkatan Februari itu wajar – bertentangan dengan kenyataan Wan Azizah dan Tony Pua sebelum ini.
Mkini juga menegaskan apa yang BNSC jelaskan bahawa berlaku ‘undercharging’ pada harga bulan Januari yang kemudiannya diganti sebahagiannya pada Februari
—-
APAKAH KENAIKAN HARGA MINYAK BENAR-BENAR WAJAR?
SEMAKAN FAKTA | Harga RON95, bahan bakar yang paling banyak digunakan oleh pengguna jalan raya Malaysia naik 20 sen dalam dua bulan berturut-turut kepada RM2.30 seliter.
Kenaikan mendadak itu mencetuskan perang mulut antara Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua dengan Pasukan Komunikasi Strategik BN.
Malaysiakini, setelah menapis kenyataan oleh kedua-dua pihak yang turut diwarnai dengan cela-mencela antara satu sama lain mendapati terdapat persamaan dari segi harga RON95 yang diunjurkan untuk bulan Januari dan Februari.
Kedua-duanya, BN dan Pua bersetuju bahawa harga sebenar bahan bakar RON95 untuk bulan Januari adalah RM2.19 seliter. Tetapi bagi bulan Februari pula, BN menyatakan harga RM2.26 manakala Pua pula meletakkannya pada paras RM2.23 – perbezaan sebanyak tiga sen.
Sebelum membuat penyelidikan lanjutan ke atas hujah-hujah keduanya, wajar untuk melihat kepada justifikasi harga runcit RM2.30 seliter untuk RON95 pada bulan ini.
Bayar lebih tinggi daripada harga pasaran?
Ya, harga runcit bahan bakar RON95 pada bulan ini ialah RM2.30 seliter adalah lebih tinggi daripada harga yang ditentukan oleh mekanisme harga automatik (APM).
Para pengguna bahan bakar itu membayar lebih empat sen, mengikut perkiraan BN. Menurut Pua pula, ia adalah tujuh sen lebih.
Untuk berlaku adil, para pengguna menikmati subsidi sebanyak sembilan sen apabila membayar RM2.10 untuk seliter petrol RON95 pada bulan lepas.
Kedua-duanya, BN dan Pua bersetuju bahawa harga sebenar bagi bulan Januari sepatutnya RM2.19 seliter.
Kenapa bergantung kepada angka BN, Pua?
Ini kerana kerajaan tidak mendedahkan pengiraan sebenar apabila harga bahan bakar bulanan diumumkan.
Malah, kerajaan tidak mengumumkan harga bahan bakar baru kepada orang ramai, sebaliknya menyerahkan kepada pengedar petrol yang kemudian mendedahkannya kepada media.
Walaupun kaedah pengiraan menjadi pengetahuan awam – dan sesiapa sahaja, termasuk BN dan Pua boleh membuat anggaran.
Penzahiran telus pengiraan bulanan akan mengelakkan perang mulut antara pembangkang dan parti pemerintah.
Bagaimana harga petrol dikira?
Harga petrol ditentukan oleh APM yang bergantung kepada dua faktor utama iaitu Means of Platts Singapore (Mops) dan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat berdasarkan purata bulan sebelumnya.
Selain itu, terdapat juga kos tetap 31.73 sen seliter yang terdiri daripada 5 sen alpha (perbezaan antara Mops dan minyak yang dibeli di kilang), 9.54 sen untuk perbelanjaan mengurus, 5 sen keuntungan syarikat minyak dan 12.19 sen keuntungan buat pengedar petrol.
Untuk maklumat lebih terperinci, sila lihat penjelasan Malaysiakini bagaimana harga bahan bakar tersebut api dikira disini. Sekadar nota, kalkulator tersebut hanyalah anggaran sahaja.
Bagaimana Pua, BN kira harga runcit RON95?
Pua menyatakan purata Mops untuk RON95 pada bulan Disember ialah AS$ 66.553 setong (159 liter) yang menterjemah kepada AS$0.4186 seliter.
Pada kadar tukaran wang asing purata sebanyak RM4.48 bagi setiap dolar AS, ia menjadi RM1.8753 bagi setiap liter.
BN mendakwa Pua menggunakan angka yang salah kerana Mops purata pada bulan Disember seharusnya berada di paras AS$66.7646 setong manakala kadar tukaran asing diletakkan pada kadar RM4.4599 bagi setiap AS$1.
Berdasarkan kiraan tersebut, BN meletakkan harga pada paras RM1.8727 bagi setiap liter RON95.
Bagaimanapun, perbezaan antara pengiraan BN dan Pua adalah begitu kecil sehingga menyebabkan kedua-dua pihak memutuskan harga akhir pada bulan Januari ialah RM2.19 seliter, selepas mengambil kira kos tetap sebanyak 31.73 sen.
Untuk bulan Januari, Pua meletakkan Mops purata pada paras AS$68.820 dengan kadar tukaran asing purata sebanyak RM4.42 bagi setiap dolar AS.
BN meletakkan Mops purata bulan Januari pada kadar AS$69.3436 dengan kadar tukaran asing purata RM4.4592 bagi setiap dolar AS.
Ini menyebabkan angka BN ialah RM1.9448 seliter dan angka Pua pula ialah RM1.9130 per liter, yang menterjemahkan kepada RM2.26 seliter dan RM2.23 seliter selepas mengambil kira kos tetap 31.73 sen untuk bulan Februari.
Daripada menuding jari ke atas siapa yang betul atau salah, angka-angka yang dinyatakan oleh kedua-dua pihak hampir sama.
Kesimpulan
Pua berkata perbezaan harga APM bagi bulan Januari (RM2.19) dan Februari (RM2.23) adalah sekitar empat sen dan mahu tahu mengapa pengguna kenderaan terbeban dengan kenaikan 20 sen ekoran kenaikan harga petrol baru-baru ini.
Seperti yang dijelaskan oleh pasukan komunikasi strategik BN, para pengguna hanya membayar RM2.10 seliter pada bulan lalu apabila harga sebenar adalah RM2.19 setelah diberikan subsidi sebanyak 9 sen berdasarkan harga APM.
Oleh itu, kenaikan tersebut bukan sahaja menyumbang lonjakan kecil harga minyak pada bulan ini tetapi juga harga pasaran bulan lepas (selain mahu mendapatkan semula kerugian subsidi).
Berdasarkan anggaran tersebut, peningkatan sebanyak 15 sen bagi bulan Februari akan menjadi lebih dekat kepada harga APM.
Bagaimanapun, jika sistem APM itu diuruskan dengan betul, harga yang dibayar oleh para pengguna masih akan berada dalam lingkungan purata walaupun terlebih atau terkurang bayar untuk beberapa bulan.
Semakan fakta ini dilakukan oleh NIGEL AW.
—-
https://m.malaysiakini.com/news/371280