DAP menawarkan bantuan undang-undang kepada peniaga di negeri ini yang mungkin didakwa atas kesilapan melabel berus cat bulu babi walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa pemberhentian serbuan di kedai.
Pemimpin DAP Sarawak Chong Chieng Jen melahirkan rasa lega dengan arahan penamatan menamatkan serbuan yang didakwanya akan “memusnahkan struktur sosial harmoni” Sarawak dan menyebabkan rasa marah di kalangan kumpulan etnik di sana.
“Pelampau tidak mempunyai tempat di Sarawak dan kita tidak boleh membenarkannya.
“Sarawak dibina di atas prinsip sebuah negeri sekular dan asas toleransi serta menghormati semua kaum dan agama,” katanya hari ini.
Dilaporkan 13 premis perniagaan diserbu di negeri ini dan ratusan berus dirampas untuk ujian forensik.
Pemilik perniagaan boleh didakwa dan dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing juga gembira melihat serbuan itu dihentikan.
“Saya gembira kerana Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin mengarahkan pemberhentian serbuan ke atas kedai di Malaysia.
“Ia tidak wajar, terutama di Sarawak,” katanya.
Hamzah mengarahkan pegawai penguat kuasa menghentikan semua serbuan, berikutan keputusan Kabinet.
Peniaga diberi sebulan melabel barangan mereka dengan betul, termasuk menentukan jika ia diperbuat daripada bahan yang diperoleh daripada babi atau anjing.
Kementerian itu setakat ini merampas sebanyak 2,000 berus cat diperbuat daripada bulu babi, dalam serbuan di seluruh negara sejak Selasa.
Masing mengutuk serbuan itu dan menganggapnya memudaratkan hubungan antara agama.
“Tingkah laku keterlaluan pihak berkuasa Islam mengenai produk yang dijual di Malaysia akan menyebabkan perasaan marah pada penganut agama lain. Ia akan menjauhkan jurang bukannya menyatukan (rakyat) kita hidup dalam masyarakat berbilang agama.”