LUNDU: Calon Barisan Nasional (BN), Puan Sri Jamilah Anu menepati ramalan dan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu dengan kemenangan bergaya apabila memperoleh majoriti besar iaitu 6,443 undi.
Balu kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan yang mewakili Parti Bumiputera Bersatu (PBB) itu mendapat 6,573 undi mengalahkan dua calon pembangkang iaitu Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star), Johnny Aput yang memperoleh 108 undi, manakala Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu (PBDS), Rapelson Richard Hamit (130 undi).
Kemenangan Jamilah diumumkan Pengurus PRK DUN Tanjong Datu, Hamsein Atar selepas selesai proses pengiraan undi pada pukul 7.15 malam di Dewan Masyarakat Lundu di sini malam ini.
Keputusan itu disambut oleh tepukan gemuruh penyokong BN termasuk anaknya, Azizul Annuar Adenan yang mewakili ibunya mendengar secara langsung keputusan tersebut.
Walau bagaimanapun, tiada kelibat Johnny dan Rapelson bersama penyokongnya di pusat pengiraan undi semasa keputusan diumumkan.
Menurut Hamsein, seramai 9,959 orang yang mengundi dalam PRK Tanjong Datu pada kali ini tetapi hanya 69.2 peratus atau 6,893 orang keluar mengundi apabila kesemua 16 pusat pengundian ditutup pada pukul 5 petang.
“Daripada jumlah itu, hanya 6,811 kertas undi diterima, manakala 80 undi ditolak dan satu kertas undi tidak dikembalikan,” katanya ketika meng‑umumkan keputusan pilihan raya itu di Dewan Masyarakat Lundu di sini.
Jumlah 6,443 majoriti undi yang dicatatkan oleh Jamilah itu menunjukkan peningkatan 551 undi berbanding 5,892 undi diperoleh Allahyarham Tok Nan pada PRN-11 yang lalu.
Dalam pilihan raya tersebut, Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan yang hanya mendapat 468 undi mengakibatkan wakil pembangkang itu kehilangan wang deposit.
PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, Adenan, akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu di Pusat Jantung Sarawak, Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan.
Sementara itu, Jamilah Anu menyifatkan kejayaannya memenangi kerusi DUN Tanjong Datu dengan majoriti besar sebagai hadiah kepada Allahyarham suaminya.
Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hadiah kepada Adenan atau Tok Nan sempena sambutan hari kelahirannya yang sepatutnya disambut 27 Januari dan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-37 pada 14 Februari lalu.
Sehubungan itu katanya, beliau berjanji tidak akan mensia-siakan amanah diberikan oleh rakyat Tanjong Datu untuk meneruskan legasi Tok Nan dan usaha membangunkan kawasan diwakilinya.