Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 Sabtu lepas di Padang Merbok terbukti berjalan lancar dan penganjurannya lebih bertamadun dari demonstrasi Bersih 4 dan Bersih 5.
Biarpun berlangsung sejak pukul 2.30 petang sehingga pukul 11 malam, tidak ada sebarang provokasi dilakukan oleh para peserta malahan mereka setia duduk di atas padang mengikuti aturcara program yang dijalankan pihak penganjur iaitu PAS.
Pada Himpunan RUU355, tidak ada pihak polis yang terpaksa menahan peserta, kerana pergerakan masuk dan keluar dari Padang Merbok begitu lancar dengan orang ramai yang hadir dan beredar dari lokasi himpunan begitu lancar dan teratur. Polis tidak dirempuh seperti demo Bersih.
Biarpun cuaca panas dan lokasi parkir kereta agak jauh dan terpaksa berjalan kaki, tidak ada pun kedengaran rungutan atau provokasi dari pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan penganjuran berkenaan.
Berbanding himpunan Bersih, lokasi perhimpunan ada yang dijadikan medan remaja berbuat maksiat. Ada juga aksi hubungan sesama jenis yang dilarang dalam Islam sesama demo Bersih. Tidak ada bendera LGBT dan kelibat geng homoseksual dalam perhimpunan RUU355 .
Ketika Himpunan RUU355, para peniaga di sekitar ibu negara juga tidak sampai menutup perniagaan mereka sepanjang perhimpunan kerana tidak bimbang premis mereka dirosakkan seperti dalam perhimpunan Bersih yang anjuran Ambiga dan DAP.
Paling menarik ialah, pihak yang bersolat jemaah di Padang Merbok, bersolat dengan arah kiblat yang betul dan mereka berjemaah beramai-ramai di atas Padang Merbok.
Ketika himpunan Bersih, peserta Bersih bersolat mahu menunjuk-nunjuk sehingga arah kiblat berbeza beza di lokasi himpunan berkenaan.
Tiada pergaduhan atau perkelahian yang berlaku malahan tidak ada pun kereta peronda Polis yang rosak angkara provokasi dalam kalangan peserta perhimpunan RUU355.
Bagi seorang Penganalisis Politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Pawi, beliau percaya Himpunan RUU355 mencerminkan aspirasi rakyat dan bukti kekuatan PAS.
“Kehadiran itu menunjukkan sokongan akar umbi terhadap pindaan yang dicadangkan itu, terutamanya penyokong PAS yang terdiri daripada orang Melayu Islam yang ramai jumlahnya,” katanya.
Beliau berkata, ia juga jelas yang NGO Islam menunjukkan diri mereka sebenar pada himpunan itu.
“Terdapat sokongan daripada NGO Islam yang selama ini memilih mendiamkan diri tetapi kini mengambil keputusan menunjukkan sokongan terbuka terhadap pindaan itu,” katanya.
Sudah pasti dari segi angka Himpunan RUU355 sudah menang. 50,000 orang berkumpul berbanding Bersih 5 hanya dalam 20,000 sahaja. Himpunan RUU355 lebih tamadun kerana tiada langsung caci maki pada pemimpin, berbanding demo Bersih yang penuh kata nista dan maki hamun.
Himpunan RUU355 ini telah menghantar satu mesej kuat pada DAP bahawa PAS masih lagi kuat. Hantar mesej bahawa PAN adalah lemah.
DAP tentu termenung panjang melihat angka dan kesan Himpunan RUU355 ini. DAP akan rangka strategi baru selepas ini. Dengarnya akan ada himpunan balas melawan RUU355 dengan lebih besar lagi pada 18 Mac ini. Benarkah?