Identiti dua daripada tujuh suspek yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam telah dikenal pasti.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata salah seorang suspek itu adalah setiausaha kedua di pejabat kedutaan Korea Utara, Hyon Kean Song, manakala seorang lagi, Kim Uk Il adalah kakitangan di syarikat penerbangan milik Korea Utara, Air Koryo.
“Kami telah menghubungi kedutaan Korea Utara hari ini (Rabu) untuk membenarkan kami menemu bual mereka,” katanya pada sidang media memaklumkan perkembangan terkini kes berprofil tinggi itu di Bukit Aman pada Rabu.
Tegas Khalid, sekiranya pihak kedutaan Korea Utara enggan memberikan kerjasama, Bukit Aman akan mengeluarkan waran tangkap terhadap dua suspek itu.
“Kita arahkan mereka untuk tampil bantu siasatan. Kita juga tahu mereka masih berada di negara ini. Jika terus berdegil kita akan keluarkan waran tangkap,” katanya.
Bagaimanapun Khalid enggan mengesahkan sama ada gambar dua suspek itu diperolehi menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Pada masa sama, beliau berkata, polis sedang memburu seorang lagi warga Korea Utara, Ri Ji U, 30, atau dikenali sebagai James yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan itu.
“Kita percaya suspek kelima iaitu James juga masih ada di dalam negara ini. Kita sudah dedahkan gambar dan identitinya bersama dua lagi suspek yang dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai empat suspek yang dipercayai telah melarikan diri ke Pyongyang pada hari Jong-nam dibunuh, Khalid berkata, polis menggesa kerajaan Korea Utara untuk menyerahkan mereka bagi membantu siasatan.
“Kita percaya mereka sudah berada di Pyongyang. Mereka juga dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan itu,” katanya.
Ditanya mengenai peranan ketujuh-tujuh suspek itu, Khalid bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenainya kerana kes itu masih lagi dalam siasatan.
“Sudah tentu kita tahu (peranan mereka). Kita ada alasan untuk menyoal siasat mereka bagi membantu siasatan. Namun saya tidak akan kongsi maklumat itu dengan anda,” katanya.
Pada Rabu,polis menahan seorang wanita pemegang pasport Vietnam dikenali sebagai Doan Thi Huong, selepas dia kembali ke tempat kejadian untuk menaiki pesawat pulang ke Vietnam.
Sehari selepas itu, polis menyerbu bilik di sebuah hotel di Ampang, Kuala Lumpur untuk menahan suspek wanita kedua. Suspek memegang pasport Indonesia dengan nama Siti Aisyah, dari Serang, Jakarta.
Kedua-dua suspek wanita itu dikenal pasti berdasarkan rakaman CCTV yang diambil dari terminal klia2 pada hari kejadian.
Polis kemudiannya menahan seorang lelaki Korea Utara berusia 46 tahun bernama Ri Jong Chol yang tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja di bidang IT.
Jong-nam dipercayai dibunuh dua suspek wanita dengan menyembur cecair beracun di wajahnya ketika berada di balai berlepas KLIA2, Isnin lalu.