Masalah pembaziran wang negara, kegiatan rasuah dan politik wang merupakan ‘kesakitan lama’ yang terpaksa ditanggung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diwarisi dari zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Pasir Mas) mendakwa, masalah berkenaan mula berlaku sewaktu zaman pentadbiran Dr. Mahathir ketika negara menikmati zaman kemewahan.
Menurutnya, ada era 90-an, negara dikurniakan kemewahan, namun kenikmatan itu tidak disyukuri, sebaliknya segala kegiatan tidak bermoral itu tumbuh begitu cepat.
Beliau berkata, masalah-masalah tersebut terus ‘membengkak’ selepas peralihan pentadbiran kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ‘kesakitan lama’ itu kini perlu ditanggung oleh Najib.
“Pada zaman kita mewah dahulu kita lari daripada tuntutan supaya bersyukur nikmat Allah tersebut. Apa yang berlaku, pembaziran serta rasuah mula tumbuh begitu cepat, politik wang begitu berleluasa dan akhirnya merosakkan negara.
“Kita mewah di zaman Dr. Mahathir dan kita bermasalah di zaman Pak Lah (Abdullah) dan hari ini kita terus bermasalah di zaman Yang Berhormat Pekan (Najib). Kita terpaksa menanggung kesakitan lama, maka janganlah semasa kita berdepan tempoh yang susah ini, kita ambil jalan penyelesaian yang Allah tidak mahukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini penganalisis politik, Raja Sara Petra membangkitkan perkara sama apabila mendakwa asas ‘kerosakan’ dasar yang berlaku hari ini tidak terjadi dalam tempoh sehari.
Katanya, perkara itu telah dirangka sejak 30 tahun lalu dan Najib baru memegang jawatan Perdana Menteri selama lapan tahun dan disebabkan itu Perdana Menteri perlu mewarisi kerosakan yang ditinggalkan Dr. Mahathir.