Inilah yang saya tidak faham. Dulu, Hannah Yeoh dari DAP sebagai Speaker DUN Selangor membenarkan rang undang-undang hudud penuh yang akan dibentangkan di Selangor tetapi apabila pindaan kepada RU355 dibentangkan, DAP membuat segala macam bunyi.
Hannah Yeoh berkata ia adalah proses demokrasi. Tetapi kini DAP mahu menghalang RU355 dari dibentangkan.
DAP telah menjadi anti-demokrasi sekarang?
Rujukan:
“Umno’s hudud bid gets Selangor Speaker’s nod”
http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/umnos-hudud-bid-gets-selangor-speakers-nod
“Hudud Selangor: Saya Bukan Speaker DAP – Hannah Yeoh”
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/06/13/hudud-selangor/
Kecoh DAP, PKR Berkeras Cuba Halang RUU 355
Selepas 30 minit ahli-ahli parlimen pembangkang cuba menghalang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, akhirnya Ahli Parlimen PAS Marang itu dapat membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Ini selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi amaran mana-mana ahli parlimen yang cuba mengganggu Hadi akan diarah keluar Dewan.
Terdahulu, Presiden PAS itu bangun untuk memulakan pembentangan tetapi dalam masa Ahli Parlimen DAP Gelang Patah Lim Kit Siang bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat mempersoal tindakan Speaker kerana menolak notis yang dihantar pada 17 Februari lalu dengan alasan penolakan tersebut sepatutunya dibuat oleh Setiausaha Dewan Rakyat, bukannya Speaker.
Selepas Pandikar menjawab persoalan Kit Siang, ahli parlimen pembangkang lain turut bangun dengan peraturan sama berkeras mahu menghalang Hadi daripada membentangkan RUU 355 meskipun dihalang Pandikar Amin.
Antaranya, Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen PKR Gopeng, Lee Boon Chye, Ahli Parlimen PKR Gooi Hsiao Leung, Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M. Kulasegaran dan Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, P.Kasthuriraani.
Sebaliknya, ahli parlimen pembangkang Melayu sama ada dari PKR dan PAN hanya diam membisu dengan membiarkan rakan sekutunya bangun menentang dan terus mengasak Speaker serta ahli parlimen Marang tersebut.
Dalam keadaan Dewan tegang ahli parlimen PAS Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan turut menyatakan peraturan mesyuarat atau ‘Point Of Order’ dengan membangkitkan dokumen mahkamah pada satu kes yang difailkan dimana hakim Asmadi Mohamad telah memutuskan tiada mana-mana ahli parlimen pun boleh dihalang untuk berbahas mengikut peraturan mesyuarat 49.
Namun, tindakan Takiyuddin itu membuatkan ahli parlimen pembangkang lain berang, dan Gobind terus bangun sekali lagi menyatakan ‘Point Of Order’, namun ditolak Speaker.
Pandikar Amin juga bertindak mengetuk tukul beberapa kali bagi mententeramkan Dewan.
Begitu juga Kit Siang yang bangun menyentuh sentimen politik dengan mempersoal sama ada MIC, MCA dan GERAKAN menyokong tindakan kerajaan membenarkan Abdul Hadi membentang RUU 355 itu.
Bagaimanapun, tindakan itu diselar Speaker dengan memberi amaran supaya Kit Siang tidak mengulangi tindakannya yang menyentuh sentimen politik dalam Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mewakili penyokong kerajaan bangun bertindak mempertahankan Speaker dan Hadi.
“Tak payah dilayan mereka-mereka ni, teruskan sahaja,” tempiknya.
Dilihat separuh daripada menteri kabinet turut hadir bagi mendengar pembentangan Abdul Hadi termasuklah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sekitar Parlimen juga sesak sejak awal pagi dengan jumlah pengunjung bertambah untuk melihat sendiri RUU 355 yang jadi polemik sejak beberapa tahun lalu dibentang di Dewan Rakyat oleh Hadi.