KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan amat memandang serius kewujudan secara berleluasa berita palsu ketika ini kerana ia mengancam keselamatan negara dari pelbagai sudut.
Justeru, Perdana Menteri meminta pengamal media untuk membantu kerajaan menepis penularan berita palsu yang semakin berleluasa dengan melaporkan berita yang tepat serta sahih dengan kebenaran.
“Jika berita palsu tidak dibendung dan dikawal, ia akan mengancam keselamatan negara daripada pelbagai sudut. Justeru, pengamal media dan wartawan bantulah kami untuk bangunkan negara, jadikan Malaysia lebih makmur bagi menentukan kesejahteraan hidup rakyat.
“Bantulah kerajaan dalam menyampaikan kebenaran dan bukan bersandarkan kepada berita palsu. Kita mempunyai masa depan yang cukup cerah. Jangan kata kita sebuah negara yang gagal atau bankrap.
Kita perlu tolak sama sekali berita palsu. “Saya akan berjuang untuk pastikan Malaysia menjadi 20 negara termaju dalam masa beberapa tahun akan datang. Anda boleh tidak bersetuju dengan kerajaan tetapi biarlah secara berfakta,” katanya pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2017, malam tadi.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2017, Datuk Dr Chamil Wariya serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Najib berkata, rakyat hari ini berada pada era pasca-kebenaran, sekali gus menjadikan peranan dan tanggungjawab wartawan serta media membangunkan masyarakat dengan maklumat yang sahih.
“Saya katakan ini kerana dalam era pasca-kebenaran, kehadiran berita palsu dalam pelbagai platform media sosial sudah menjadi lumrah.
“Apa yang menyedihkan masyarakat menerima secara bulat-bulat apa yang disogokkan kepada mereka.
“Mereka tidak dapat membezakan antara intan dan kaca. Maka ia perlu dibendung untuk keselamatan negara,” katanya.