Langkah kedua terakhir untuk memutuskan hubungan dengan PKR telah mendapat kelulusan sebulat suara.
Rafizi banyak menyumbang kepada ini dengan:
1) Langkah Kajang
2) Menuduh PAS menerima wang dari 1MDB
3) Dengan bodoh mengatakan bahawa Adam Rosly adalah ahli PAS sebelum menyertai PKR pada tahun 2010.
******
Ulama PAS Lulus Usul Putus Kerjasama Dengan PKR
ALOR SETAR: Dewan Ulama PAS hari ini meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” (kerjasama) dengan PKR.
Pengerusi Jawatankuasa Usul Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali ketika mengumumkan keputusan itu berkata usul putus kerjasama diluluskan tanpa bahas.
“Menyedari bahawa PKR telah melanggar begitu banyak syarat-syarat ‘tahaluf siyasi’ dengan PAS maka muktamar Dewan Ulama PAS Pusat yang bersidang pada 27 April 2017 bersetuju untuk mengusulkan agar ‘tahaluf siyasi’ antara PAS dan PKR diputuskan tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama,” katanya.
Keputusan disambut dengan laungan takbir daripada para perwakilan. Usul dikemukakan ulama PAS Negeri Sembilan dan Perak.
Usul ini akan diangkat ke Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.
Sekiranya badan tertinggi ulama parti itu juga meluluskan usul tersebut, ia mungkin menyaksikan pertembungan antara PAS dan PKR pada pilihan raya akan datang, terutamanya di Selangor, yang bersama mereka membentuk kerajaan sejak penggal lepas.
Dalam usul ini, PKR antaranya dituduh mengkhianati syarat perjanjian antara parti dan tidak menghormati PAS dalam beberapa isu seperti isu rang undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355.
Perwakilan ulama PAS seluruh negara berhimpun di Alor Setar, Kedah untuk mesyuarat agung tahunan dewan mereka sempena mesyuarat agung tahunan PAS ke-63 yang berlangsung dari 29 April hingga 1 Mei.
Majlis syura berperanan untuk menafsir dasar dan perlembagaan parti dalam menangani masalah semasa. Ia diketuai mursyidul am dan merupakan badan tertinggi parti tanpa kuasa eksekutif.
Ia bergerak seiring dengan jawatankuasa pusat yang berperanan untuk melaksanakan keputusan, mentadbir dan mengatur strategi parti. Jawatankuasa ini diketuai presiden dan merupakan badan tertinggi parti dengan kuasa eksekutif.
Sebelum ini, keputusan bertahaluf dengan parti lain diluluskan di peringkat majlis syura dan pelaksanaannya dilakukan oleh jawatankuasa pusat.