Pembangkang diminta mengemukan bukti berhubung dakwaan berlakunya sejumlah pemilih yang disenaraikan dalam daftar pemilih adalah berstatus Penduduk Tetap (PR).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pembangkang sepatutnya melaporkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyiasat mengenai isu berkenaan.
“Kalau mereka ada bukti, bawalah kepada SPR untuk disiasat. Jangan hanya setakat bercakap sahaja mengatakan perkara ini berlaku.
“Kalau mereka kata perkara ini berlaku, tunjuklah bukti… bawa kepada SPR untuk disiasat,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Isnin.
Bagaimanapun Mohamed Nazri berkata dakwaan PR mendaftar sebagai pengundi sukar berlaku kerana pendaftaran sebagai pemilih perlu menggunakan kad pengenalan biru.
“Saya tak jangka boleh berlaku kerana kalau nak daftar jadi pengundi seseorang itu kena ada kad pengenalan biru.
“Jadi saya tak tahu bagaimana orang yang tak ada kad pengenalan biru boleh jadi pengundi… memang tak boleh,” katanya.
Dalam pada itu ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pemintaan pembangkang untuk mengadakan sidang khas berkenaan dalam tempoh tujuh hari, Mohamed Nazri berkata perkara berkenaan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib untuk membuat keputusan.
“Saya akan bawa kepada Perdana Menteri dan setelah berbincang dengan beliau, mungkin lepas itu (baru) kita boleh respon. saya tak mahu mendahului beliau dalam perkara ini,” katanya.
Sebelum itu Mohamed Nazri yang mewakili Perdana Menteri menerima surat rasmi daripada ahli Parlimen pembangkang bagi meminta satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan mengenai isu PR menjadi pengundi dan mendapat taraf warganegara segera.
Baru-baru ini pembangkang mendedahkan wujudnya sejumlah pemilih yang disenaraikan dalam Rang Undang-undang Pemilih Tambahan bagi suku ke-2 2011 adalah berstatus PR dan bukannya warganegara.