Inilah cara pemerintahan cara kuku besi dan “totalitarian”. Pegang semua jawatan yang ada dan berkuasa membuat keputusan bagaikan seorang diktator. Sebab itulah tanah Penang tergadai habis.
PAS dan PKR makan kuah sahajalah di Penang. Semua jawatan DAP bolot. PKR sekadar jadi punahsihat sahaja. PAN pula jadi badut sahaja, bergaji belasan ribu di syarikat air.
Lim Guan Eng, Ketua Menteri DAP Pulau Pinang pegang sebanyak 16 jawatan di Pulau Pinang melibatkan pentadbiran negeri, pengerusi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jawatan politik. Ini sebenarnya contoh seorang pemimpin yang gila kuasa.
Hingga ke saat ini, Guan Eng ada 16 jawatan dengan 12 daripadanya adalah jawatan di syarikat GLC. Empat dalam politik iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih dan Ahli Parlimen Bagan.
Selebihnya iaitu 12 jawatan lagi iaitu Pengerusi di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Perbadanan Bukit Bendera, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, PBA Holdings Bhd, Penang Global Tourism, BPO Premier Sdn Bhd, Premier Horizon Ventures Sdn Bhd, Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang, George Town World Heritage Incorporated, Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang dan Lembaga Invest-In Pulau Pinang.
Terbaru, Guan Eng yang masih terpalit dengan kes rasuah banglo dan tanah ini dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang. Kalau ada jawatan Pengerusi IKEA Penang, pasti Guan Eng hendak juga jawatan itu nanti.
Parti Gerakan Pulau Pinang menempelak sikap tamak jawatan Guan Eng dan mempersoalkan adakah beliau boleh mengendalikan semua jawatan berkenaan dengan baik dan berkesan.
Walaupun, Guan Eng pegang sampai 16 jawatan. Bukan menyelesai masalah tetapi banyak lagi masalah yang berlaku.
Banyak penyelewengan tanah, 25 kampung Melayu hilang dari peta Pulau Pinang, nelayan susah hendak cari makan, bukit habis digondol dan gejala rasuah makin teruk di Pulau Pinang. Harta zakat dan bumiputra pun kena songlap di negeri yang diperintah oleh Guan Eng ini.
Tanah kena gadai dan dijual. Salah guna kuasa berlaku bila pegang banyak sangat jawatan. Bermaharajalela DAP di seluruh negeri Pulau Pinang. Sebagai contoh, Ketua Menteri sendiri didakwa di mahkamah kerana kes rasuah banglo. Tanah untuk rumah rakyat habis dijual di Taman Manggis.
Sepatutnya, apabila pegang banyak jawatan, 33 janji DAP dalam manifesto “Just Change” pada 2008 dapatlah ditunaikan kepada rakyat.
Tetapi sebaliknya, hampir semua janji DAP kepada pengundi di Pulau Pinang tidak ditunaikan pun. Tol Sungai Nyiur yang hanya 50 sen pun tidak juga dihapuskan.
51 buah projek yang dirancang gagal. Sebagai contoh, pembinaan projek terowong dasar laut yang menelan kerugian beratus juta dan kegagalan Guan Eng atasi masalah banjir di Penang. Bukit Bendera pun boleh banjir pada zaman DAP ini. Itu pun masih hendak tuding jari pada BN lagi.
Pegang sampai 16 jawatan tetapi bangunan KOMTAR sendiri pun tiada sijil Perakuan Siap & Pematuhan (CCC). Bagaimana ini boleh berlaku? Amat memalukan sama sekali. Isu projek Komtar libatkan kos sampai beratus juta tetapi akhirnya tiada sijil CCC.
Pada 14 November 2014, Guan Eng umumkan Only World Group Holdings Berhad (OWG) akan melaksanaan projek pengubahsuaian dan penaiktarafan KOMTAR. Anak syarikat Kumpulan OWG, Magnificent Empire Sdn. Bhd. (MESB) melaksanakan kerja itu dengan kos RM40 juta.
Apa yang susahnya dapat sijil CCC? Atau Guan Eng juga ada lagi “jawatan tertentu” dalam syarikat yang melaksanakan kerja pengubahsuaian Komtar ini dan juga syarikat syarikat yang beli tanah di Penang?
Rakyat Pulau Pinang kena terus desak Guan Eng. Jelaskan apa kepentingan Guan Eng dalam semua syarikat yang beli tanah, kaji kos terowong, ubah suai Komtar dan tambak laut di Pulau Pinang.
Ada kemungkinan Guan Eng ada lebih dari 16 jawatan jika dicampur dengan jawatan dalam syarikat syarikat.
Jalan paling baik adalah desak Guan Eng letak jawatan sahaja. Biar selesai dulu kes rasuah di mahkamah, barulah pentadbiran CAT dapat dilaksanakan.
Susah kalau dibiarkan Ketua Menteri yang masih terpalit isu rasuah mentadbir negeri. Lebih lebih lagi jika Ketua Menteri itu sendiri gila kuasa dan gila jawatan.