Tuduhan kononnya Malaysia adalah antara 10 negara paling korup di dunia dibuat bekas pemimpin negara tanpa fakta.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketika dicabar untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan berkenaan, individu terbabit gagal berbuat demikian kerana ia ‘mengarut’.
Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, berdasarkan Penarafan Terkini Transparensi Antarabangsa, Malaysia tidak disenarai antara 10 atau 100 negara paling korup.
“Beliau (bekas pemimpin negara) membuat pelbagai dakwaan mengenai kerajaan. Salah satu daripadanya ialah Malaysia akan muflis.
“Walaupun saya fikir Bank Dunia mengatakan ekonomi Malaysia dipertingkatkan daripada sudut kekuatan, rakyat boleh mengetahui kebenarannya (dakwaan muflis), katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM), malam tadi.
Turut hadir Presiden UNAM, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dan Timbalannya, Tan Sri Razali Ismail.
Mengulas lanjut, Najib berkata, adalah sesuatu yang ‘malang’ ketika ini rakyat hidup dalam era penyebaran berita palsu.
Dari semasa ke semasa, katanya, beberapa agensi media antarabangsa menyiarkan laporan hasil sesi temubual bersama bekas pemimpin negara yang menyebarkan berita palsu dan membohong demi kepentingan politik.
“Bekas pemimpin negara itu sudah terbabit dalam misi itu hampir tiga tahun dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Apabila beliau sudah menggunakan semua kaedah yang ada, dan gagal setiap kali beliau menggunakan media organisasi sedia ada yang mahu mendengar dakwaannya.
“(Ia menyediakan platform) untuk beliau menyebarkan berita palsu demi kepentingan politik.
“Beliau berfikiran jika penipuan itu dibuat secara berterusan, rakyat akan mula mempercayainya sebagai dakwaan benar,” katanya.