Dalam pembentangan Bajet 2018, kerajaan telah umumkan peruntukan RM3.9 bilion untuk subsidi barangan dan pengangkutan termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.
Manakala RM1.6 billion untuk subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG). BR1M adalah jumlah yang paling besar diberikan iaitu sejumlah RM6.8 billion daripada keseluruhan RM9.56 subsidi yang ada dalam Bajet 2018.
Jumlah pemberian BR1M ini adalah 71% daripada semua jumlah subsidi yang lain. Ini bermaksud pemberian subsidi dalam bentuk BR1M adalah kaedah subsidi yang terbaik untuk dinikmati oleh rakyat yang benar benar memerlukan bantuan.
Jumlah BR1M yang diberikan meliputi 7 juta orang. Ada tiga kategori penerima BR1M iaitu kategori pertama, rakyat yang berpendapatan di bawah RM3,000 akan mendapat RM1,200 berbanding RM1,000 sebelum ini.
Kategori kedua adalah yang berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, menerima BR1M sejumlah RM900 berbanding RM800 sebelum ini. Manakala kategori ketiga pula adalah bagi individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000, BR1M akan dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.
Mana lebih penting? Subsidi minyak petrol atau beri subsidi kepada barang barang dapur? Tentulah lebih penting gas memasak, tepung, minyak masak dan elektrik. Setiap hari digunakan untuk mengisi perut. Minyak petrol orang tidak makan dan minum setiap hari. Isi perut bagi penuh lebih utama dari bagi minyak kenderaan penuh.
Minyak petrol isi penuh boleh tahan dalam seminggu. Harga RON95 bagi pemilik Viva kalau diisi penuh adalah RM2.38 sen x 36 liter, sama dengan RM85.68. Harga RON95 , RM2.38 seliter kalau diisi dalam kereta Myvi 1.3 (40 liter) adalah sejumlah RM95.20 sen. Jika naik 7 sen baru jadi kosnya RM2.80 seminggu.
Kalau naik kereta Proton Saga FLX 1.3 (40 liter), jika disi penuh minyaknya sama harga seperti kereta Myvi. Kalau seminggu kos kenaikkan pemilik kereta Myvi dan Proton Saga FLX hanya RM2.80. Jadi jika setahun jumlahnya akan jadi RM2.80 x 48 minggu iaitu RM134.40.
Hanya RM134.40 sahaja, kerajaan beri BR1M lebih banyak lagi berbanding RM134.40 ini. BR1M diberi RM1,200 setahun, ada lagi baki RM1,065.50. Boleh belanja lagi untuk beli rokok dan macam macam lagi. Kalau beli rokok tidak cukup duit BR1M itu.
Kalau “heavy smoker” hisap tiga kotak Dunhill 20 sehari. Harga sekotak Dunhill ini adalah RM17 sekotak. Jadi untuk ‘heavy smoker’, sehari habis sejumlah RM17 x 3 kotak, RM51. Setahun akan jadi RM18,615.
Kalau hisap Dunhill sekotak untuk tiga hari, jumlah bulanan kosnya akan jadi RM510. Setahun akan jadi RM6,120. Lebih mahal rokok dari minyak, namun orang beli juga rokok biarpun harganya terus naik. Harga minyak ada juga turun naik. Harga rokok tidak pernah turun, namun tidak ada yang marah sebab harga rokok naik.
Hidup akan tertekan kalau naik kereta Bugatti Veyron yang “full tank” minyak 80 liter. Kalau sudah naik Buggati Veyron, takkan isi minyak RON95? Mestilah isi minyak RON100 yang harganya RM2.80 seliter. Jadi kalau penuh tangki jumlahnya akan jadi RM224 sekali isi.
Hidup juga akan tertekan kalau naik kereta Porshe Cayenne yang “full tank” minyak adalah 85 liter. Kereta Porshe Cayenne ini juga akan guna minyak RON100 dan bukannya RON95. Sekali isi minyak penuh jadi RM238. Hidup akan tertekan kalau isi minyak kapal layar yang mewah.
Namun di Malaysia ini, tidak ramai yang naik Bugatti Veyron dan Porshe Cayenne atau kapal layar, ramai yang naik Viva atau motorsikal. Sekali isi minyak motorsikal yang tangkinya 2.5 liter dengan minyak RON95 baru RM5.95 sen.
Jika naik 7 sen, kos kenaikan adalah 2.5 liter x 7 sen = 17 sen. Murah lagi 17 sen dari caj plastik di negeri Selangor yang nilainya 20 sen. Mana lebih kerap? Isi minyak penuh tangki atau masuk kedai kena caj plastik 20 sen?
Jangan mimpilah kalau tukar kerajaan maka kerajaan yang baru naik itu akan turunkan harga minyak. Plastik 20 sen pun mereka tidak mansuh, tol 50 sen pun mereka tidak mansuh, inikan pula hendak turunkan harga minyak.
“Kita ambil maklum mengenai peningkatan harga minyak. Kalau daripada peningkatan ini kita dapat lebihan, mungkin boleh sumbangkan kepada golongan berpendapatan rendah terutama yang terima BR1M. Kemungkinan besar kita boleh tingkatkan BR1M dengan jumlah sedikit lebih,” kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II dalam parlimen semalam.
Lebih baik tingkatkan BR1M, beri kepada rakyat yang memerlukan. BR1M yang ada sekarang kalau dihitung betul betul sudah pun atasi kos kenaikan bahan bakar yang berlaku. Mana ada kerajaan yang beri subsidi tersasar sebegini baik kepada rakyatnya, hanya di Malaysia sahaja.
Harga minyak di Malaysia adalah yang ke-17 termurah di dunia. Antara lima negara teratas yang murah minyaknya adalah Venezuela, Turkmenistan, Algeria dan Iran. Lihatlah di mana kedudukan ekonomi negara negara ini. Berapa kadar pengangguran di negara ini dan pertumbuhan ekonomi di negara yang murah harga minyaknya ini.
Apakah sesuatu negara itu berjaya dari segi ekonomi jika harga minyaknya terlalu murah? Jawapannya, tidak. Pembangkang pun setuju hendak teruskan BR1M, bermaksud subsidi BR1M adalah lebih baik daripada beri subsidi kepada harga minyak.
Rakyat yang benar benar memerlukan akan dapat BR1M. Kalau bagi subsidi minyak secara pukal, orang yang naik Bugatti Veyron dan Porshe Cayenne pun dapat juga. Subsidi melalui BR1M lebih baik berbanding subsidi harga minyak.