Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos mencabar syarikat Eco World supaya menyaman beliau kerana mendakwa pemaju hartanah itu mengaut keuntungan di sebalik skim perumahan SelangorKu.
Katanya, beliau mempunyai bukti kukuh bahawa syarikat Eco World mengaut keuntungan sedangkan rumah mampu milik SelangorKu masih gagal dibangunkan di Eco World Semenyih.
“Kenapa (kerajaan negeri) tak pastikan pemaju ikut panduan yang digariskan kerajaan negeri sebab tiada tindakan sebab apa rundingan bawah meja.
“Saya berani lawan dengan Eco World saman saya kalau saya tak betul tiada masalah kerana mereka ini penipu, berbohong,” katanya pada sidang media di pejabat Gabungan NGO Malaysia, Ampang, Jumaat.
Sebanyak 12,862 unit rumah telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor, bakal disiapkan oleh Eco World.
Manakala 50 peratus daripada jumlah tersebut, atau 6,431 unit terdiri daripada unit mampu milik, iaitu berharga dari RM42,000 hingga RM220,000 melalui skim Rumah SelangorKu.
Jamal juga berkata, kerajaan negeri didakwa tutup sebelah mata apabila pemaju hartanah masih gagal membangunkan rumah mampu milik SelangorKu sedangkan Dewan Undangan Negeri bakal dibubarkan tidak lama lagi.
“Saya cabar Eco World siapkan rumah SelangorKu dalam tempoh empat bulan sebelum pilihan raya. Saya yakin mustahil mereka boleh tunaikan janji mereka,” katanya.
Tegasnya lagi, pemaju hartanah sepatutnya mematuhi syarat pembinaan di mana mereka perlu memastikan pembinaan rumah mampu milik seiring dengan rumah kos tinggi yang tersergam indah di Eco World Semenyih, hari ini.
“Persoalan kenapa kerajaan negeri yang membuat skim ini tetap tidak peduli rakyat, tutup sebelah mata, jadi kita minta pihak berkuasa tolong semak balik syarat pembinaan.
“Kerajaan Selangor kencing rakyat Selangor, tipu rakyat Selangor, rumah SelangorKu tiada, kalau ada pun masih dalam pembinaan lagi sedangkan sudah tujuh tahun dijanjikan,” katanya lagi.