NAIB Presiden Amanah, Husam Musa mengesahkan anaknya, Ahmad Syafi ditahan kerana memiliki 200 biji pil metamfetamin dan mengatakan beliau tidak dimaklumkan mengenai reman anak itu sehinggalah hari ini.
Adun Salor itu berkata beliau akan memberikan butiran lanjut mengenai isu ini selepas menemui anaknya.
“Saya hanya mendapat tahu anak saya, Ahmad Syafi direman di Mahkamah Kota Bharu atas tuduhan memilik 200 biji pil kuda, jam 5.22 petang tadi (19 November 2017), apabila seseorang menghantar imej laporan akhbar melalui Whatsapp.
“Sehingga kini, tiada pemakluman rasmi oleh polis dibuat kepada saya mengenai penahanan itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan tangkapan itu dan mengatakan suspek dibawa ke Mahkamah Kota Baru bagi mendapatkan perintah reman.
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung penemuan 200 pil kuda di poket hadapan sebelah kanan seluar panjang yang dipakainya.”
Sementara itu, menurut laporan suspek cuba melarikan diri semasa pihak berkuasa memperkenalkan diri.
Suspek terjatuh ke atas tanah dan berlaku pergelutan, bahkan suspek melawan semasa polis cuba menahannya dan enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan hendak dilakukan.
Hasil pemeriksaan, polis menemui beg plastik berwarna biru yang dibungkus dengan tisu putih yang mengandungi 198 pil berwarna merah dan dua biji pil berwarna hijau disyaki dadah.