Setuju untuk tidak bersetuju. Perkara kecil je kan..
Azmin juga terlampau teringin nak jadi Perdana Menteri.
*******
PKR Selangor tak setuju calon PM, TPM Pakatan Harapan
BELUM pun sempat 24 jam Pakatan Harapan (PH) sebulat suara mengumumkan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri, PKR Selangor yang ditunjangi Mohamed Azmin Ali telah menarik kembali pendirian parti itu.
Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor Hizwan Ahmad berkata PKR Selangor bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pengumuman menamakan Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
“Konvensyen PH yang berlangsung… telah merumuskan tiga ketetapan penting menuju pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Dengan saki baki ruang demokrasi dan kebebasan bersuara yang ada, PKR Selangor dengan ini melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan pengumuman calon Perdana Menteri Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, dalam konvensyen PH di Shah Alam, gabungan pembangkang itu mengumumkan pengerusi PH Dr Mahathir sebagai perdana menteri manakala Dr Wan Azizah sebagai timbalannya jika PH menang PRU14 kelak.
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah berkata di bawah perjanjian yang dipersetujui gabungan itu, Dr Mahathir harus mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya selepas Ketua Umum PKR itu mendapat pengampunan diraja.
Hizwan berkata mereka menghormati keputusan pimpinan tertinggi PH, namun di peringkat negeri PKR mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara itu.
“Hampir 20 tahun lalu, kali pertama kalimah Reformasi kita laungkan di jalan raya, parti ini diuji dengan mehnah dan cubaan pelbagai rupa disiram cucuran keringat, darah dan air mata.
“Kita juga telah berjaya buktikan keupayaan dan kemampuan parti keramat ini memerintah dengan adil dan saksama.
“Negeri Selangor telah menjadi bukti betapa Keadilan mampu membawa perubahan dalam pentadbiran yang memacu keamanan dan kemakmuran,” katanya.
Dalam ucapannya di konvensyen PH semalam, Dr Mahathir mengaku terhutang budi selain mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana sanggup menerimanya untuk bekerjasama menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak, dan mengetepikan sengketa politik mereka berdua yang berlarutan hampir 20 tahun lalu.
Bekas perdana menteri itu turut mengakui keluarga Anwar juga merasa tertekan dengan tindakan yang dilakukannya terhadap Anwar itu. Dr Mahathir berkata, beliau sedar perjuangan untuk menjatuhkan Umno memerlukan kerjasama pembangkang kerana parti itu sukar ditumbangkan jika beliau bergerak sendirian.
Isteri beliau, Dr Siti Hasmah turut terkesan dengan ucapan suaminya itu.
Dalam pada itu, Hizwan berkata, PKR Selangor merasakan yang calon perdana menteri patut datang dari PKR sendiri.
“Kini negara sedang berdepan dengan zaman baharu. Golongan millenial pastinya mahu melihat seorang tokoh segar, kaya dengan buah fikiran yang berpandangan jauh dan berkesan untuk membawa negara ini keluar dari kepompong kerosakan yang telah tercipta sekian lama oleh barisan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional sejak dahulu lagi.
“Rakyat tidak mudah lupa, penggerak asli Reformasi juga tidak akan lupa. Reformasi total mesti ditegakkan dari semua aspek. Baik sistem, dasar, pentadbiran dan juga pentadbirnya,” katanya.
Bagaimanapun, PKR Selangor tetap berikrar dan bersedia untuk mempertahankan negeri itu selain bekerja keras agar negeri itu kekal di bawah pentadbiran PKR, katanya.
“PKR Selangor menyeru seluruh pendokong tegar reformasi untuk terus bersama-sama menolak Umno dan BN.
“Menuju PRU14, sebelum, semasa mahupun selepas pilihan raya, pelbagai perkara boleh berlaku.
“Kepada Allah kita berserah dan memohon petunjuk dan pertolongan. Membujur lalu melintang patah, lawan tetap lawan!” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis berkata persetujuan yang dicapai PH untuk dua jawatan penting itu bermaksud satu kejayaan buat gabungan itu selain petanda komitmen mereka untuk bersama mengambil alih kerajaan.